Friday, April 18, 2008

Perasaan takut dalam perniagaan

_______________________________________________
Ramai usahawan bermula dengan perasaan takut. Namun, mereka tidak membiarkan perasaan takut itu menghalang mereka mencapai kejayaan. Antara cara yang dapat digunakan bagi mengatasi perasaan takut menceburi bidang perniagaan adalah:

1. Seseorang itu mungkin takut menceburkan diri dalam bidang perniagaan kerana menyangka semuanya perlu dilakukan secara sekali gus.

Cara membuang rasa takut:
Pecahkan impian saudara untuk berjaya dalam bidang perniagaan kepada matlamat-matlamat kecil. Ini akan dapat membantu mengurangkan perasaan takut itu.

2. Seseorang itu mungkin takut menceburkan diri dalam bidang perniagaan kerana mereka merasakan mereka kekurangan masa, tenaga dan sumber kewangan untuk berbuat demikian.

Cara membuang rasa takut:
Buang segala perkara yang negatif dalam hidup saudara seperti tabiat yang buruk. Selain itu, bukalah minda saudara bagi melakukan eksplorasi ke dalam bidang-bidang yang saudara minati. Ini membantu saudara mengurangkan keletihan badan dan jiwa saudara.

Membuang perkara negatif dalam hidup pula akan membantu menyedarkan saudara sebenarnya saudara mempunyai banyak masa bagi menceburkan diri dalam bidang perniagaan.

Daripada segi kekurangan sumber kewangan pula, saudara perlu merancang tabiat berbelanja dan juga meningkatkan nilai wang simpanan saudara. Kenal pasti sumber kewangan yang wujud seperti pinjaman daripada institusi kewangan dan pihak kerajaan.

3. Seseorang itu mungkin takut menceburkan diri dalam bidang perniagaan kerana mereka merasakan idea, produk dan perkhidmatan mereka tidak cukup bagus.

Cara membuang rasa takut:
Bagi menyelesaikan masalah ini, sedikit penyelidikan pasaran dan eksperimen harus dilakukan. Contohnya, cuba adakan promosi di mana saudara memberikan produk saudara secara percuma kepada orang ramai.

Semasa promosi itu sedang berlangsung, dapatkan maklum balas daripada para pengguna mengenai produk saudara itu. Melalui maklum balas itu, saudara dapat menentukan sama ada saudara ingin menjual produk itu ataupun memikirkan produk baru.

4. Seseorang itu mungkin takut menceburkan diri dalam bidang perniagaan kerana ramai orang di sekelilingnya berpendapat rancangannya itu tidak akan berjaya.

Cara membuang rasa takut:
Berhenti berfikir secara negatif dan gantikannya dengan pemikiran yang positif. Selain itu, elakkan diri daripada berbual dengan mereka yang tidak menyokong dan sentiasa berfikiran negatif mengenai niat saudara itu. Ini tidaklah bermakna saudara harus memulaukan mereka. Apa yang penting di sini adalah saudara perlu mengurangkan pergaulan dengan mereka kerana apabila tidak, perasaan takut itu tidak hilang.

Pada masa yang sama, carilah kawan-kawan yang sedia memberi sokongan dan galakan kepada saudara. Yang paling penting, luangkan sedikit masa untuk berbual dengan mereka yang berjaya dalam bidang perniagaan. Cuba belajar daripada pengalaman mereka.

5. Seseorang itu mungkin takut menceburkan diri dalam bidang perniagaan kerana beranggapan dirinya tidak mempunyai bakat dalam bidang perniagaan.

Cara membuang rasa takut:
Semua orang boleh berjaya dalam bidang perniagaan apabila mereka bertindak dengan betul. Tambahkan ilmu saudara dalam bidang perniagaan melalui pembacaan, seminar, kursus, bengkel dan sebagainya. Selain itu, saudara juga harus mula merangka pelan perniagaan saudara. Ini sedikit sebanyak dapat mengurangkan masalah kurang yakin dengan kebolehan diri sendiri.



Ustaz Abd Aziz bin Harjin
Pensyarah Tamadun Islam
Universiti Teknologi MARA Perlis
02600 Arau
PERLIS
MALAYSIA

013-4006206
04-9882701
abdazizharjin@perlis.uitm.edu.my
http://abdazizharjin.blogspot.com

No comments: