Friday, April 18, 2008

Graduan jangan peluk tubuh

___________________________
GRADUAN yang masih menganggur tidak seharusnya ‘berpeluk tubuh’ mengharapkan ‘rezeki datang bergolek’, pekerjaan mencari mereka, sebaliknya golongan ini harus peka dan bertindak pantas mempertingkatkan kemahiran diri, agar kelebihan itu berjaya menarik majikan menggajikan mereka.
Masalah pengangguran serta persaingan sengit itu timbul apabila ratusan graduan memiliki kelulusan serta kualiti sama, tidak menonjol, dengan kata lain kurang berkelayakan untuk menempatkan diri dalam dunia pekerjaan.“Untuk bersaing seseorang graduan itu perlu mempunyai jati diri, perlu keluar dari kelompok keanak-anakan untuk bersaing dalam dunia pekerjaan yang semakin mencabar kini.
Kemahiran itu bukan hanya diperoleh sekelip mata sebaliknya mereka perlu keluar dan mencarinya,” tegas Timbalan Presiden Persatuan Rangkaian Usahawan Wanita Malaysia (Wena), Raja Azam Baeizah pada Hari Usahawan Wena di sini baru-baru ini.
Katanya menerusi pengalamannya, tidak keterlaluan dikatakan segelintir graduan terlalu ‘manja’ atau cepat berputus asa apabila berhadapan dengan tugasan hingga tidak sesuai diterima dalam sesuatu pekerjaan.Namun katanya perkara berkenaan bukan salah graduan semata-mata, sebaliknya pihak berkaitan seperti badan bukan kerajaan perlu menghulur tangan membantu golongan ini mendapatkan ‘kekuatan’ serta menitip rahsia kepada mereka dalam usaha menempatkan diri atau terjun dalam dunia pekerjaan.
“Tidak dinafikan segelintir individu mudah menempatkan diri dalam dunia pekerjaan tetapi ada juga yang sukar diterima bekerja walaupun sudah banyak kali menghadiri temuduga dan antara faktor kesukaran itu sebenarnya ada dalam diri graduan berkenaan dan inilah yang perlu dikenalpasti,” katanya.Justeru dalam usaha membantu, pihaknya mewujudkan satu skim ‘perantis-mentor graduan’ bertujuan membantu lepasan institusi pengajian tinggi yang masih menganggur dalam menyediakan latihan amali kepada graduan yang tidak bekerja dan bagi mereka yang berkelayakan diambil bekerja oleh Wena secara sepenuh masa, sambilan atau bagi asas projek.Pihaknya yakin penyertaan awal dalam suasana bekerja yang sempurna akan memberikanpeluang kepada graduan untuk mempelajari kemahiran diperlukan dalam menempatkan diri ke dunia perniagaan.
“Wena mengambil langkah ini sebagai salah satu usaha murni untuk menyokong usaha kerajaan menyediakan latihan praktikal kepada graduan yang masih belum bekerja kerana kami merasakan sesuatu kerugian andai mereka membiarkan tenaga muda itu tanpa melakukan sebarang tugasan.“Dalam usaha ini kami mensasarkan akan menjadi biro atau orang tengah mempertemukan graduan dengan anggotanya dan pihak lain yang berminat,” katanya yang menyatakan sejak ditubuhkan pada 2003 persatuan itu memiliki 130 ahli.
Katanya dalam usaha itu, Wena akan bertindak sebagai orang tengah antara pekerja dan majikan. Graduan berdaftar dengan Wena akan dipertemukan dengan majikan berdasarkan minat masing-masing dan mereka akan diberi latihan secara percuma sebelum disahkan layak menyertai pekerjaan berkenaan.“Sekiranya layak, graduan akan terpilih tetapi sekiranya tidak, mereka akan dipertemukan dengan syarikat lain.
Sekurang-kurangnya mereka mempunyai pengalaman sebelum melangkah ke alam pekerjaan dengan lebih yakin,” katanya yang menyatakan program anjuran Wena itu tidak sama seperti agensi mencari pekerjaan yang mengenakan bayaran sebaliknya perkhidmatan ditawarkan adalah secara percuma.Pada masa sama pihaknya mengalu-alukan mana-mana syarikat menyertai Wena membolehkan graduan mempunyai peluang lebih luas untuk menempatkan diri dalam syarikat yang juga menjadi ahli Wena itu.
Sementara itu bekas graduan sebuah institusi pengajian tinggi tempatan, Nina Ahmad, dan Siti Azureen Mohd Ridhuwan yang kini membuka perniagaan berasakan barangan kemas, Kohinoor Jewellers berterima kasih kepada Wena yang memberi tunjuk ajar kepada mereka untuk membuka perniagaan sendiri.
Menurutnya sebagai graduan yang masih menganggur, usaha murni yang dilaksanakan Wena itu memberikan bukan saja peluang sebaliknya keyakinan untuk bersaing dalam dunia pekerjaan tidak kira untuk bekerja ‘makan gaji’ atau membuka perniagaan sendiri.
Dipetik daripada Berita Harian pada 31 Mei 2005.


Ustaz Abd Aziz bin Harjin
Pensyarah Tamadun Islam
Universiti Teknologi MARA Perlis
02600 Arau
PERLIS
MALAYSIA

013-4006206
04-9882701
abdazizharjin@perlis.uitm.edu.my
http://abdazizharjin.blogspot.com


No comments: