Tuesday, March 31, 2009

Wanita Solehah

Oleh: Nur Atiqah Binti Hussin

Pendahuluan
Wanita merupakan salah satu di antara sekian banyak bentuk perhiasan hidup yang diciptakan Allah SWT untuk manusia. Dalam surah Al-Imran, telah diterangkan secara terperinci tentang perhiasan hidup dunia iaitu wanita menduduki rangking teratas dalam posisinya sebagai hiasan dunia. Dan seindah hiasan di muka bumi ini adalah wanita solehah.

Siapakah wanita solehah itu?
Wanita solehah adalah wanita yang cantik zahir dan batin yang benar-benar mencintai Allah dan Rasul-Nya serta mencintai pencinta-pencinta Allah. Wanita solehah memiliki kecantikan asli atau ideal. Secara fizikal, darah daging dan tulang belulangnya bersih dari benda-benda haram manakala batinnya bersih dari kotoran kejiwaan. Dalam kitab suci Al-Quran, perkataan solehah itu selalu dirangkaikan dengan kata amal, dan amal itu sendiri pasti disebut selepas kata iman. Maka, wanita solehah adalah wanita yang beriman.

Ciri-ciri wanita solehah :
A) Taat kepada Allah.
Taat kepada Allah dan taat kepada rasulnya secara automatic membawa seorang wanita mentaati suaminya, juga kepada perintah-perintah yang lain dari Allah dan Rasul-Nya. Ciri-cirinya adalah seperti berikut :
1) Melebihkan kecintaan terhadap Allah, Rasul dan berjihad melebihi dari keduniaan.
2) Menutup aurat dan tidak berhias untuk mempamerkan kecantikan, melainkan dalam rangka ketaatan. Cirri-ciri wanita solehah adalah menutup aurat, berpenampilan sederhana, sopan, jauh dari sifat menunjuk-nunjuk. Menutup aurat bagi wanita Islam adalah wajib berdasarkan perintah Allah dalam Al-Quran surah An-Nur ayat 31 dan surah Al-Azhab ayat 59:
Katakanlah kepada wanita yang beriman : “hendaklah mereka menahan pandangan, dan memelihara kemaluannya, dan janganlah mereka menampakkan perhiasannya, kecuali yang biasa nampak daripadanya. Dan hendaklah mereka menutup kain tudung ke dadanya, dan janganlah menampakkan perhiasannya, kecuali kepada suami mereka, atau ayah suami mereka, atau putera-putera mereka, atau saudara-saudara mereka, atau putera-putera saudara perempuan mereka atau wanita-wanita Islam, atau budak-budak yang mereka miliki, atau pelayan pelayan lelaki yang tidak mempunyai keinginan (terhadap wanita) atau anak-anak yang belum mengerti tentang aurat wanita. Dan janganlah mereka memukulkan kaki mereka agar diketahui perhiasan yang mereka sembunyikan. Bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah, wahai orang-orang yang beriman supaya kamu beruntung. ”
(Surah An-Nur)
Hai Nabi katakanlah kepada isteri-isterimu, anak-anak perempuanmu dari isteri-isteri orang mu’min : “hendaklah mereka menghulurkan jilbabnya ke seluruh tubuh mereka. ” Yang demikian itu supaya mereka lebih mudah untuk dikenal, kerana itu mereka tidak diganggu. Dan Allah adalah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang. (Surah Al-Ahzab)
3) Tidak berhias dan bertingkah laku seperti wanita jahiliyah.
Pada zaman Jahiliyah di Arab dahulu kala, perempuan-perempuan Arab keluar rumah dengan berhias-hias menunjukkan kecantikan dan gaya seperti perempuan-perempuan jahiliyah moden. Menampakkan perhiasan dan keindahan tubuh. Berjalan berlenggang-lenggok, bermegah-megahan, membongkok dan condong menunjukkan kegenitan. Ini diharamkan olaeh Islam. Islam mengajar bahawa tempat kegiatan perempuan adalah dalam lingkungan rumahtangga. Ia dikecualikan dari kegiatan-kegiatan luar rumah, melainkan dalam keadaan darurat.
4) Tidak berpergian sendirian, dan tidak pula bersama lelaki manapun, kecuali ditemani oleh muhrimnya.
Rasululah SAW bersabda yang bermaksud :
Tidak halal bagi wanita yang beriman kepada Allah dan hari akhirat bahawa dia berjalan sejarak satu hari satu malam melainkan harus ada muhrim yang menyertainya. Dan dalam satu riwayat lain : perjalanan satu malam kecuali harus disertai oleh lelaki muhrim(yang haram dinikahi)
(HR Bukhari, Muslim)
5) Selalu membantu lelaki dalam rangka kebenaran, kebajikan dan taqwa. Contohnya melaksanakan amar ma’ruf nahi mungkar. Wanita solehah adalah wanita yang bersikap tegas terhadap prinsip dan berani menyuarakan hak.
6) Berbuat baik kepada kedua ibu bapa.
Berbuat baik kepada ibu bapa dalam hal ini bererti : menunjukkan sikap sopan santun dan akhlak yang mulia kepada keduanya, tidak mennyinggung perasaannya, tidak menentang sekalipun mungkin terdapat perbezaan fahaman. Sedangkan taat bererti tunduk dan patuh disertai rasa cinta kepada keduanya selama kedua ibu bapa mengikut perintah Allah dan Rasul-Nya. Jika keduanya memerintah di luar jalan Allah dan Rasul-Nya, tidak ada kewajipan untuk mentaatinya.
7) Tidak berdua-duaan dengan lelaki asing (bukan muhrim)
Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “janganlah sekali-kali seorang lelaki bersendirian dengan seorang wanita(di suatu tempat) melainkan wanita itu harus ditemani oleh muhrimnya”
(HR Bukhari Muslim)
8) Bersikap dan berbuat baik dengan jiran tetangga.
Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud : tidak seseorang yang dinamakan mukmin yang perutnya kenyang, sedang tetangganya kelaparan tampak tulang-tulang iganya. (HR Bukhari)
Apabila engkau memasak lauk, perbanyakkanlah kuahnya dan berikanlah kepada tetangga-tetanggamu. (HR Muslim)

B) Taat kepada suami
1) Kewajipan terhadap suami.
Kewajipan utama seorang wanita (yang sudah bersuami) setelah ketaatan kepada Allah ialah taat kepada suaminya. Bahkan nilai ketaatan kepada Allah diukur seberapa jauh dia dapat menyelesaikan kewajipan terhadap suaminya.
Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud :
Sesungguhnya seorang isteri belum (dikatakan) menunaikan kewajipannya terhadap Allah sehingga menunaikan kewajipannya terhadap suami seluruhnya. Dan andaikan (suaminya) memerlukan di atas kenderaan tidak boleh menolaknya.
(HR At-Thabrani)
Sesiapa saja di antara isteri-isteri dapat melaksanakan tugasnya dengan baik dan penuh keikhlasan serta penuh keimanan, maka mereka itulah yang mendapat balasan sebagaimana sabda Rasulullah SAW :
Jika seorang isteri itu telah menunaikan solat lima waktu dan puasa di bulan Ramadhan dan menjaga kemaluannya dari yang haram serta taat kepada suaminya, maka akan dipersilakan : masuk ke syurga dari pintu mana saja yang kamu suka. (HR Ahmad dan Thabrani)
Tiap-tiap isteri yang mati diredhai oleh suaminya, maka ia akan masuk syurga. (HR At-Tarmizi dan Ibn. Majjah)
2) Sentiasa menyenangkan suami dan berkasih sayang terhadap anak.
Isteri yang solehah tidak akan mengganggu suaminya yang mengakibatkan kesusahan, tetapi dia berusaha menghilangkan kesusahan suami dan berusaha membantu menyelesaikan persoalan yang sedang dihadapi.
3) Menjaga kehormatan dirinya dan harta suaminya apabila suami tiada di rumah.
Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud :
Sebaik-baik wanita adalah jika kau pandang ia menyenangkanmu, jika kau perintah ia mentaatimu, jika kau tinggalkan ia menjagamu dalam hal harta dan menjaga dirinya.
(HR Nasa’i dll)
4) Tidak menolak bila suami ajak tidur.
Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud :
Jika suami menghendaki isterinya tidur di ranjang, mendadak ditolak oleh isterinya sehingga mengakibatkan suaminya marah padanya semalam suntuk, maka isterinya dikutuk para malaikat hingga subuh. (HR Bukhari, Muslim)
5) Tidak keluar tanpa izin suami.
Sabda Rasulullah SAW :
Tiap isteri yang keluar rumah tanpa izin suaminya, tetap berada dalam murka Allah, sehingga kembali ke rumahnya atau dimaafkan oleh suaminya (di lain riwayat) : dikutuk oleh malaikat di langit dan apa saja yang dilaluinya selain manusia dan jin sehingga kembali. (HR Khatib)
6) Tidak meremehkan pemberian suami dan menutup rapat rahsia keluarga serta tidak mencari-cari alasan untuk bercerai.
Jika isteri berkata kepada suaminya, belum pernah aku mendapat/merasakan kebaikan darimu, maka bererti telah gugur amalnya. (HR Ibn Ady dan As-Syakir)
Tiap isteri yang minta cerai dengan suaminya (tanpa alasan yang dibenarkan) maka haram atasnya bau syurga. (HR Abu Daud dan Tarmizi)
7) Tidak mengeraskan suara melebihi suara suaminya.
Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud :
Dari Umar bin Khattab berkata : Rasulullah SAW bersabda : isteri manapun yang mengeraskan suaranya melebihi suaminya, maka dia akan mendapat laknat dari segala sesuatu yang disinari matahari.
8) Tidak menerima tetamu yang dibenci suaminya ke dalam rumah apatah lagi bermesraan dengan lelaki lain.
Rasulullah SAW bersabda :
Tidak dihalalkan bagi seseorang isteri yang beriman kepada Allah, untuk mengizinkan seseorang masuk ke rumah suaminya, padahal suaminya benci dan tidak halalkan dia keluar padahal suaminya tidak senang.
9) Tidak membantah suami dalam kebenaran.
10) Sentiasa memelihara diri, kebersihan fizikal dan kecantikan serta kebersihan rumahtangga.
Semua suami pada hakikatnya senang dengan kecantikan, kebersihan, kelembutan dan kesetiaan. Seorang isteri solehah, jika dapat mempersembahkan semua ini kepada suaminya, maka dapat dipastikan, isteri jenis ini yang diibaratkan oleh Rasulullah sebagai hiasan hidup yang paling indah. Tidak syak lagi, dari mulut suami akan keluar kalimat indah penuh erti.

Fungsi wanita solehah :
1) Sebagai hamba Allah.
Kewajipan mutlak bagi setiap hamba adalah beribadah kepada-Nya, tidak menyekutukan-Nya dengan sesuatu.
2) Sebagai ibu rumahtangga.
Unsur paling kecil, namun paling penting dalam masyarakat adalah “lembaga kekeluargaan” atau rumahtangga. Wanita solehah adalah ibu rumahtangga yang baik.
3) Sebagai pendidik anak-anaknya.
Setiap anak yang lahir dibekalkan dengan sebuah potensi (kekuatan pendorong alamiah) yang dapat diarahkan ke arah yang baik atau ke arah yang buruk. Maka telah menjadi kewajipan orang tua untuk memanfaatkan potensi tersebut dan menyalurkannya ke arah yang diredhai Allah.
Untuk menjadi wanita yang solehah, ikutilah pesanan Rasulullah :
- Taat kepada suami.
- Selalu bercakap benar.
- Bermurah rezeki.
- Jangan bercampur dengan kaum lelaki (bukan muhrim).
- Pemalu dan menyembunyikan rahsia.
- Jauhi perasaan buruk sangka.
- Hindari perasaan marah.
- Menjalankan jihad bagi kaum wanita.
- Jangan berbangga dengan keturunan.
- Hindari dari menjadi isteri yang dimurkai suami.
- Menghormati tetamu.
- Menjalankan kewajipan terhadap orang tua.
- Tidak meninggikan suara melebihi suara suami.
- Berbicara dengan penuh kasih sayang kepada suami.
- Mendidik keluarga.
- Menjauhi sifat dendam.

Kesimpulan

Secara kesimpulannya, kita sebagai wanita haruslah berusaha untuk menjadi wanita solehah. Wanita solehah adalah sebaik-baik hiasan di atas muka bumi ini. Wanita solehah adalah wanita yang menyenangkan hati dan mata setiap yang memandang.
Peranan dan fungsi wanita solehah sebagai penggerak dan penjana ummah adalah suatu penglibatan yang begitu serius dan mencabar. Di saat-saat masyarakat yang sering dikejutkan dengan pelbagai keruntuhan nilai dan peradaban maka wanita solehah perlu tampil untuk menanganinya bersama.
Fungsinya yang bermula di rumah sebagai ibu kepada anak-anak sehingga penglibatan mereka di dalam bidang kerjaya dan kemasyarakatan sebenarnya dapat mewarnai kehidupan umat ini dengan budi pekerti yang luhur kerana ketrampilan mereka sebagai insan yang dekat di sisi Allah.
Kalau wanita itu dikatakan boleh mencorakkan pemerintahan dan Negara, maka wanita yang bergelar solehah turut mampu mewarnai kehidupan ummah seluruhnya menikmati rahmat dan nikmat dari ilahi.
Adalah lebih jelas setiap wanita harus tahu batas-batas peranannya di dalam melaksanakan amanah Allah SWT agar nanti akan terbina mahligai syurga di dunia sebelum mendiaminya di akhirat kelak. Wassalam.


Ustaz Abd Aziz bin Harjin
Pensyarah Tamadun Islam
Universiti Teknologi MARA Perlis
02600 Arau 
PERLIS
MALAYSIA

013-4006206
04-9882701
abdazizharjin@perlis.uitm.edu.my
http://abdazizharjin.blogspot.com


Tiga Watak Di Akhir Zaman

Oleh: Muhammad Faizal Bin Abdul Satar

Tiga Watak Di Akhir Zaman: Kedatangan Imam Mahdi, Kedatangan Dajjal, Kedatangan Nabi Isa a.s.

Kedatangan Imam Mahdi
Masa itu akan tenggelam kampung-kampung di negeri Syam. Akan datang angin yang hitam yang menyebabkan manusia ramai yang mati. Sungai Furat di Iraq akan melimpah (banjir) yang menyebabkan kota Kufah tenggelam. Akan terdengar suara seruan dari langit. Suara itu dapat didengar oleh semua manusia yang ada di dunia. Dan yang paling menghairankan lagi, suara itu dapat difahami oleh semua orang. Ada disebutkan dalam Atsar, kata-kata sahabat yang menerangkan tanda-tanda sudah dekatnya kemunculan Imam Mahdi. Menurut riwayat apabila sudah dekat kedatangan Imam Mahdi akan banyak terjadi peperangan, banyak bencana dan banyak bala.
Pada masa itu nanti semakin banyak terjadi pembunuhan dan peperangan. Orang mahu berbunuh-bunuhan kerana masalah remeh-temeh. Antara satu kumpulan dengan kumpulan lain, begitu juga antara satu negara dengan negara lain berperang kerana masalah kecil. Bencana semakin banyak berlaku, seperti gempa bumi, letusan gunung berapi, angin puting beliung, banjir dan sebagainya. Begitu juga penyakit, semakin banyak jenis penyakit dan semakin ramai manusia yang berpenyakit.
Menjelang datangnya Imam Mahdi nanti akan muncul api yang besar dari arah Masyriq (tempat terbitnya matahari) dan menerangi seluruh ufuk selama tiga malam. Pada masa itu juga nanti lengkaplah jumlah orang-orang yang mengaku dirinya sebagai nabi berjumlah enam puluh orang.
Orang yang hanya tahu atau faham bahasa Inggeris faham mendengar seruan dari langit itu, begitu juga pengguna bahasa Cina, bahasa India, bahasa Melayu, bahasa Arab dan sebagainya. Mungkin juga panggilan itu dalam bahasa Arab tetapi semua orang mendengar dalam bahasanya sendiri.
Terdengar suara pada tengah malam bulan Ramadan yang menyebabkan semua orang yang tidur terbangun atau terperanjat. Banyak pembunuhan dan banyak peperangan berlaku sehingga darah mengalir di jalan-jalan raya. Orang semakin berani berbuat jahat tidak kira tempat dan waktu.
Pada masa itu nanti yang diangkat menjadi pemimpin pun terdiri dari orang-orang jahat. Pemimpinnya jahat dan orang yang dipimpin pun sama-sama jahat. Dalam hadis dikatakan ramai manusia pada masa itu nanti yang beriman pada waktu petang tetapi esok paginya sudah menjadi kafir. Namun demikian ramai ulama yang mengertikan hadis itu dengan kafir nikmat.
Bukan bererti petang dia masih Islam esok harinya sudah Nasrani atau Yahudi misalnya. Maksud hadis itu menurut ulama menunjukkan banyaknya orang yang kafir nikmat. Apa-apa nikmat dan pemberian Allah tidak disyukuri dan tidak digunakan kepada yang diredai Allah SWT.
Menjelang turunnya Imam Mahdi dikatakan pasukan tentera dari Turki akan datang ke jazirah Arab. Mereka datang untuk menakluki tanah-tanah jazirah Arab. Mereka bunuh pemimpin-pemimpinnya dan mereka dan kuasai daerahnya.
Dalam keadaan dunia yang buruk kaau itu tiba-tiba muncullah Imam Mahdi. Beliau datang untuk meneruskan atau menyambung perjuangan datuknya (Muhammad s. a. w) untuk mengatasi kekalutan dan kekacauan yang dihadapi umat. Semua makhluk yang ada di langit dan yang ada di bumi merasa gembira dengan kedatangan Imam Mahdi itu. Bukan hanya manusia yang gembira, tetapi juga binatang buas, burung-burung dan makhluk lainnya.
Imam Mahdi itu adalah seorang lelaki yang soleh dari keluarga Rasulullah s. a. w yang ada ketika itu (pada masa munculnya) nanti. Dia diangkat orang menjadi pemimpin ketika manusia di seluruh dunia nanti sudah begitu buruk keadaannya.
Mereka mengangkat Imam Mahdi menjadi pemimpin ketika itu nanti setelah melihatnya berilmu, berakhlak dan mempunyai banyak kelebihan. Manusia yang ada pada zaman itu nanti mengharap semoga dia dapat mengembalikan dunia kepada kebaikan. Dengan perasaan yang cukup berat, dia (Imam Mahdi) menerimanya. Dia sendiri tidak tahu yang dirinyalah Imam Mahdi yang ditakdirkan Allah SWT untuk diutus ke dunia. Begitu juga manusia sedunia yang telah mengangkatnya menjadi pemimpin dunia, tidak tahu bahawa orang yang mereka angkat itu adalah Imam Mahdi.
Kerana tidak tahu yang dirinya Imam Mahdi dan tidak berapa suka menjadi pemimpin, sudah tentu dia pun tidak ada berkempen mengajak orang untuk mengangkatnya. Setelah dia memimpin dunia dengan baik barulah orang tahu bahawa itu adalah Imam Mahdi. Dia tunjukkan perilaku yang baik, dia ajak manusia mengerjakan yang makruf dan meninggalkan yang mungkar, kemudian orang pun mengikuti arahannya.
Mengapa manusia yang sudah begitu lama bergelimang dengan dosa mahu diajak kepada kebaikan? Ini tentunya samalah dengan zaman jahiliah dahulu, yang mana keadaan masyarakat sudah begitu buruk, tiba-tiba datang seorang utusan Allah untuk membaiki keadaan dunia, orang pun terus mengikutnya.
Manusia mahu diajak kepada kebaikan tentunya setelah melihat orang yang mengajak itu mempunyai banyak kelebihan, dan yang paling penting orang yang mengajak itu berjuang dengan ikhlas dan sesuai kata-kata dengan perbuatannya. Jadi nanti manusia seluruh dunia mengikut ajarannya kemudian dia pun mengatur dunia dengan baik.
Keadilan dapat ditegakkan seperti zaman Rasulullah s. a. w. dahulu kerana keadaan masyarakat sudah baik dan sudah beriman, malapetaka dan musibah berkurangan bahkan rahmat Allah pula yang datang dan rezeki melimpah ruah. Setelah dunia aman dan makmur serta melihat pemimpinnya tidak terpedaya oleh kesenangan dunia, tahulah mereka bahawa yang memimpin mereka itu adalah Imam Mahdi.

Kedatangan Dajjal
Ada riwayat Muslim yang diterima dari Fatimah binti Qais mengatakan: “Saya telah mendengar muazzin Rasulullah s. a. w memanggil untuk solat. Saya pun pergi ke masjid dan solat bersama Rasulullah s. a. w. Selesai solat, Rasulullah s. a. w naik ke atas mimbar. Nampak semacam bergurau Baginda tertawa dan berkata: “Jangan ada yang bergerak. Hendaklah semua duduk di atas sajadahnya. ” Kemudian berkata: “Tahukah kamu mengapa aku memerintahkan kamu jangan ada yang pulang?” Kami menjawab: “Allah dan Rasul-Nya yang lebih tahu. ”
Rasulullah s. a. w berkata lagi: “Demi Allah aku menyuruh kamu berkumpul di sini bukan ingin menakut-nakuti dan bukan memberi khabar gembira. Aku ingin menceritakan kepada kamu bahawa Tamim Al-Dariy adalah seorang Nasrani, kemudian dia datang menjumpai aku dan masuk Islam. Dia ada bercerita kepadaku tentang satu kisah tentang Dajjal. Kisah yang dia ceritakan itu sesuai dengan apa yang telah aku ceritakan kepada kamu sebelumnya.
Katanya dia bersama 30 orang kawannya pergi ke laut dengan menaiki kapal. Angin kencang datang bertiup dan ombak besar membawa mereka ke tengah-tengah samudera yang luas. Mereka tidak dapat menghalakan kapalnya ke pantai sehingga terpaksa berada di atas laut selama satu bulan. Akhirnya mereka terdampar di sebuah pulau menjelang terbenamnya matahari. Di pulau yang tidak ditempati orang itu mereka berjumpa dengan binatang yang sangat tebal bulunya sehingga tidak nampak mana jantina dan duburnya.
Mereka bertanya kepada binatang itu: “Makhluk apa engkau ini?” Binatang itu menjawab: “Saya adalah Al-Jassasah. ” Mereka tanya: “Apa itu Al-Jassasah?” Binatang itu hanya menjawab: “Wahai kumpulan lelaki, pergilah kamu ke tempat ini untuk menjumpai lelaki macam ini, sesungguhnya dia pun ingin berjumpa dengan kamu. Mereka pun pergi ke tempat yang ditunjukkan oleh binatang itu.
Di sana mereka menjumpai seorang lelaki yang sangat besar dan tegap. Ertinya mereka tidak pernah melihat orang sebesar itu. Dari tangannya sampai ke tengkuknya dikuatkan dengan besi, begitu juga dari lututnya sampai ke telapak kakinya. Mereka bertanya: “Siapakah anda?” Orang seperti raksaksa itu menjawab: “Kamu telah mendengar cerita tentang aku. Sekarang aku pula ingin bertanya: “Siapa kamu ini?”
Mereka menjawab: “Kami adalah manusia berbangsa Arab. Kami pergi ke laut menaiki kapal, tiba-tiba datang ombak besar membawa kami ke tengah-tengah samudera luas dan kami berada di lautan selama satu bulan. Akhirnya kami terdampar di pulau yang tuan tempati ini.
“Pada mulanya kami berjumpa dengan binatang yang sangat tebal bulunya sehingga kami tidak dapat mengenali jantinanya. Kami tanya siapa dia katanya Al-Jassasah. Kami tanya apa maksudnya dia hanya menjawab: “Wahai kumpulan lelaki, pergilah kamu ke tempat ini untuk menjumpai lelaki macam ini, sesungguhnya dia pun ingin berjumpa dengan kamu. ”
Itulah sebabnya kami datang ke tempat ini. Sekarang kami sudah berjumpa dengan tuan dan kami ingin tahu siapa tuan sebenarnya. ” Makhluk yang sangat besar itu belum menjawab soalan mereka terus sahaja mengemukakan soalan: “Ceritakan kamu kepadaku keadaan kebun kurma yang di Bisan itu, ” nama tempat di negeri Syam. Mereka menjawab: “Keadaan apanya yang tuan maksudkan?” Orang besar itu menjawab: “Maksudku apakah pokok kurma itu berbuah?” Setelah mereka menjawab bahawa pokok kurma itu berbuah, orang besar tadi berkata: “Aku takut pokok itu tidak berbuah. ”
Orang besar itu bertanya lagi: “Ceritakan kepadaku tentang sungai Tabarah. ” Mereka menjawab: “Tentang apanya yang tuan maksudkan?” Lelaki itu menjawab: “Maksudku airnya apakah masih ada. ” Mereka menjawab: “Airnya tidak susut. ” Lelaki itu berkata: “Air sungai itu disangsikan akan kering. ”
Akhirnya lelaki seperti raksaksa itu berkata: “Kalau begitu ceritakan kepadaku tentang Nabi Al-Amin itu, apa yang dia buat?” Mereka menjawab: “Dia telah berhijrah dari Makkah ke Madinah. ” Lelaki itu bertanya lagi: “Apakah dia diperangi oleh orang-orang Arab?” Mereka menjawab: “Ya, dia diperangi oleh orang-orang Arab. ” Lelaki itu bertanya lagi: “Kalau begitu apa pula tindakan dia terhadap mereka?” Mereka ceritakan bahawa Rasulullah s. a. w telah mengembangkan dakwahnya dan sudah ramai pengikutnya.
Orang besar itu berkata lagi: “Memang begitulah, padahal mereka beruntung jika taat kepadanya. ” Kata orang besar itu lagi: “Sekarang aku terangkan kepada kamu bahawa aku adalah Al-Masih Dajjal. Nanti aku akan diberi izin keluar, lalu aku pun akan menjelajah dunia ini. Dalam masa empat puluh malam sudah dapat aku jalani semua, kecuali Makkah dan Madinah yang aku tidak dapat memasukinya. Negeri Makkah dan Madinah dikawal oleh para Malaikat, maka aku tidak dapat menembusinya. ”
Kata Tamim Al-Dariy lagi, “Rasulullah s. a. w menekankan tongkatnya di atas mimbar sambil berkata: “Inilah negeri yang tidak dapat dimasukinya itu, iaitu Madinah. Saudara-saudara sekalian apakah sudah aku sampaikan cerita ini kepada kamu?” Mereka menjawab: “Ya, sudah ya Rasulullah. ” Rasulullah s. a. w berkata lagi: “Sememangnya hadis Tamim itu lebih meyakinkan saya lagi. Ceritanya itu bersesuaian dengan apa yang telah aku sampaikan kepada kamu sebelumnya, iaitu tentang Makkah dan Madinah yang dikatakan tidak dapat dimasuki Dajjal. Cuma dia ada mengatakan di lautan Syam atau di laut Yaman. Tidak, bahkan ia dari arah timur. Ia dari arah timur, ” kata Rasulullah s. a. w sambil menunjuk ke arah timur.
Rasulullah s. a. w telah menguatkan lagi bahawa Dajjal akan datang dari arah timur. Ada yang mengatakan bahawa Dajjal akan datang dari Khurasan atau Asfihan.

Khutbah Rasulullah SAW tentang Dajjal
Dari Abi Umamah Al-Bahiliy, beliau berkata: “Rasululah s. a. w telah berkhutbah di hadapan kami. Dalam khutbahnya itu Baginda banyak menyentuh masalah Dajjal. Baginda telah bersabda: “Sesungguhnya tidak ada fitnah (kerosakan) di muka bumi yang paling hebat selain daripada fitnah yang dibawa oleh Dajjal. Setiap Nabi yang diutus oleh Allah SWT ada mengingatkan kaumnya tentang Dajjal. Aku adalah nabi yang terakhir sedangkan kamu adalah umat yang terakhir. Dajjal itu tidak mustahil datang pada generasi (angkatan) kamu. Seandainya dia datang sedangkan aku masih ada di tengah-tengah kamu, maka aku adalah sebagai pembela bagi setiap mukmin. Kalau dia datang sesudah kematianku, maka setiap orang menjaga dirinya. Dan sebenarnya Allah SWT akan menjaga orang-orang mukmin.
“Dajjal itu akan datang nanti dari satu tempat antara Syam dan Irak. Dan mempengaruhi manusia dengan begitu cepat sekali. Wahai hamba Allah, wahai manusia, tetaplah kamu. Di sini akan saya terangkan kepada kamu ciri-ciri Dajjal, yang belum diterangkan oleh nabi-nabi sebelumku kepada umatnya.
“Pada mulanya nanti Dajjal itu mengaku dirinya sebagai nabi. Ingatlah, tidak ada lagi nabi sesudah aku. Setelah itu nanti dia mengaku sebagai Tuhan. Ingatlah bahawa Tuhan yang benar tidak mungkin kamu lihat sebelum kamu mati. Dajjal itu cacat matanya sedangkan Allah SWT tidak cacat, bahkan tidak sama dengan baharu. Dan juga di antara dua mata Dajjal itu tertulis KAFIR, yang dapat dibaca oleh setiap mukmin yang pandai membaca atau buta huruf.
“Di antara fitnah Dajjal itu juga dia membawa syurga dan neraka. Nerakanya itu sebenarnya syurganya sedangkan syurganya itu neraka, yakni panas. Sesiapa di antara kamu yang disiksanya dengan nerakanya, hendaklah dia meminta pertolongan kepada Allah dan hendaklah dia membaca pangkal surah Al-Kahfi, maka nerakanya itu akan sejuk sebagaimana api yang membakar Nabi Ibrahim itu menjadi sejuk.
“Di antara tipu dayanya itu juga dia berkata kepada orang Arab: “Seandainya aku sanggup menghidupkan ayah atau ibumu yang sudah lama meninggal dunia itu, apakah engkau mengaku aku sebagai Tuhanmu?” Orang Arab itu akan berkata: “Tentu. ” Maka syaitan pun datang menyamar seperti ayah atau ibunya. Rupanya sama, sifat-sifatnya sama dan suaranya pun sama. Ibu bapanya berkata kepadanya: “Wahai anakku, ikutilah dia, sesungguhnya dialah Tuhanmu. ”
“Di antara tipu dayanya juga dia tipu seseorang, yakni dia bunuh dan dia belah dua. Setelah itu dia katakan kepada orang ramai: “Lihatlah apa yang akan kulakukan terhadap hambaku ini, sekarang akan kuhidupkan dia semula. Dengan izin Allah orang mati tadi hidup semula. Kemudian Laknatullah Alaih itu bertanya: “Siapa Tuhanmu?” Orang yang dia bunuh itu, yang kebetulan orang beriman, menjawab: “Tuhanku adalah Allah, sedangkan engkau adalah musuh Allah. ”
Orang itu bererti lulus dalam ujian Allah dan dia termasuk orang yang paling tinggi darjatnya di syurga. ”
Kata Rasulullah s. a. w lagi: “Di antara tipu dayanya juga dia suruh langit supaya menurunkan hujan tiba-tiba hujan pun turun. Dia suruh bumi supaya mengeluarkan tumbuh-tumbuhannya tiba-tiba tumbuh. Dan termasuk ujian yang paling berat bagi manusia, Dajjal itu datang ke perkampungan orang-orang baik dan mereka tidak me-ngakunya sebagai Tuhan, maka disebabkan yang demikian itu tanam-tanaman dan ternakan mereka tidak menjadi.
“Dajjal itu datang ke tempat orang-orang yang percaya kepadanya dan penduduk kampung itu mengakunya sebagai Tuhan. Disebabkan yang demikian hujan turun di tempat mereka dan tanam-tanaman mereka pun menjadi.
“Tidak ada kampung atau daerah di dunia ini yang tidak didatangi Dajjal kecuali Makkah dan Madinah. Kedua-dua kota itu tidak dapat ditembusi oleh Dajjal kerana dikawal oleh Malaikat. Dia hanya berani menginjak pinggiran Makkah dan Madinah. Namun demikian ketika Dajjal datang ke pergunungan di luar kota Madinah, kota Madinah bergoncang seperti gempa bumi. Ketika itu orang-orang munafik kepanasan seperti cacing dan tidak tahan lagi tinggal di Madinah. Mereka keluar dan pergi bergabung dengan orang-orang yang sudah menjadi pengikut Dajjal. Inilah yang dikatakan hari pembersihan kota Madinah.
Dalam hadis yang lain, “di antara fitnah atau tipu daya yang dibawanya itu, Dajjal itu lalu di satu tempat kemudian mereka mendustakannya (tidak beriman kepadanya), maka disebabkan yang demikian itu tanam-tanaman mereka tidak menjadi dan hujan pun tidak turun di daerah mereka. Kemudian dia lalu di satu tempat mengajak mereka supaya beriman kepadanya. Mereka pun beriman kepadanya. Maka disebabkan yang demikian itu Dajjal menyuruh langit supaya menurunkan hujannya dan menyuruh bumi supaya menumbuhkan tumbuh-tumbuhannya. Maka mereka mudah mendapatkan air dan tanam-tanaman mereka subur. ”
Dari Anas bin Malik, katanya Rasulullah s. a. w bersabda: “Menjelang turunnya Dajjal ada tahun-tahun tipu daya, iaitu tahun orang-orang pendusta dipercayai orang dan orang jujur tidak dipercayai. Orang yang tidak amanah dipercayai dan orang amanah tidak dipercayai. ”
Dari Jabir bin Abdullah, katanya Rasulullah s. a. w ada bersabda: “Bumi yang paling baik adalah Madinah. Pada waktu datangnya Dajjal nanti ia dikawal oleh malaikat. Dajjal tidak sanggup memasuki Madinah. Pada waktu datangnya Dajjal (di luar Madinah), kota Madinah bergegar tiga kali. Orang-orang munafik yang ada di Madinah (lelaki atau perempuan) bagaikan cacing kepanasan kemudian mereka keluar meninggalkan Madinah. Kaum wanita adalah yang paling banyak lari ketika itu.
Itulah yang dikatakan hari pembersihan. Madinah membersihkan kotorannya seperti tukang besi membersihkan karat-karat besi. ”
Diriwayatkan oleh Ahmad, hadis yang diterima dari Aisyah r. a. mengatakan: “Pernah satu hari Rasulullah s. a. w masuk ke rumahku ketika aku sedang menangis. Melihat saya menangis beliau bertanya: “Mengapa menangis?” Saya menjawab: “Ya Rasulullah, engkau telah menceritakan Dajjal, maka saya takut mendengarnya. ”
Rasulullah s. a. w berkata: “Seandainya Dajjal datang pada waktu aku masih hidup, maka aku akan menjaga kamu dari gangguannya. Kalau dia datang setelah kematianku, maka Tuhan kamu tidak buta dan cacat. ”
Dari Jabir bin Abdullah, katanya Rasulullah s. a. w bersabda: “Dajjal muncul pada waktu orang tidak berpegang kepada agama dan jahil tentang agama. Pada zaman Dajjal ada empat puluh hari, yang mana satu hari terasa bagaikan setahun, ada satu hari yang terasa bagaikan sebulan, ada satu hari yang terasa satu minggu, kemudian hari-hari berikutnya seperti hari biasa. ”
Ada yang bertanya: “Ya Rasulullah, tentang hari yang terasa satu tahun itu, apakah boleh kami solat lima waktu juga?” Rasulullah s. a. w menjawab: “Ukurlah berapa jarak solat yang lima waktu itu. ”
Menurut riwayat Dajjal itu nanti akan berkata: “Akulah Tuhan sekalian alam, dan matahari ini berjalan dengan izinku. Apakah kamu bermaksud menahannya?” Katanya sambil ditahannya matahari itu, sehingga satu hari lamanya menjadi satu minggu atau satu bulan.
Setelah dia tunjukkan kehebatannya menahan matahari itu, dia berkata kepada manusia: “Sekarang apakah kamu ingin supaya matahari itu berjalan?” Mereka semua menjawab: “Ya, kami ingin. ” Maka dia tunjukkan lagi kehebatannya dengan menjadikan satu hari begitu cepat berjalan.
Menurut riwayat Muslim, Rasulullah s. a. w bersabda: “Akan keluarlah Dajjal kepada umatku dan dia akan hidup di tengah-tengah mereka selama empat puluh. Saya sendiri pun tidak pasti apakah empat puluh hari, empat puluh bulan atau empat puluh tahun. Kemudian Allah SWT mengutus Isa bin Maryam yang rupanya seolah-olah Urwah bin Mas’ud dan kemudian membunuh Dajjal itu. ”
Dan menurut ceritanya setelah munculnya Dajjal hampir semua penduduk dunia menjadi kafir, yakni beriman kepada Dajjal. Menurut ceritanya orang yang tetap dalam iman hanya tinggal 12, 000 lelaki dan 7, 000 kaum wanita. Wallahu A'lam.

Kedatangan Nabi Isa
Diriwayatkan oleh Muslim dari Al-Nawas bin Sam’an bahawa Rasulullah bersabda tentang Nabi Isa: “Beliau akan turun berdekatan dengan menara putih di timur Damsyik, dengan memakai pakaian kuning. Dua telapak tangannya terletak di atas sayap dua malaikat. Apabila dia menundukkan kepalanya menitislah air. Apabila dia mengangkat kepalanya lagi, turunlah daripadanya seperti untaian mutiara. ”
Berdasarkan hadis ini bererti Nabi Isa akan turun di Syam, bahkan juga di Damsyik, iaitu di sisi menara sebelah timur. Beliau akan turun pada waktu fajar. Ibnu Katsir ada berkata: “Sesungguhnya tidak ada di Damsyik menara yang dikenal di sebelah timurnya kecuali yang berada disamping masjid jamik Amawi, iaitu di sebelah timur Damsyik. ”
Menara tersebut telah diperbaiki pada zaman Ibnu Katsir, iaitu pada tahun 741 hijrah. Pembiayaannya diambil dari harta orang-orang Nasrani yang sebelumnya telah membakar menara masjid tersebut. Besar kemungkinan nanti Nabi Isa akan turun di tempat itu.
Diriwayatkan oleh Imam Ahmad, dari Abu Hurairah, bahawa Rasulullah s. a. w bersabda: “Para nabi semuanya bersaudara disebabkan ayah mereka satu dan hanya ibu mereka yang berlainan. Sedangkan agama mereka adalah satu. Dan akulah orang yang paling dekat dengan Isa bin Maryam kerana tidak ada Nabi di antara kami. Sesungguhnya dia akan turun. Apabila dia turun nanti, untuk me-ngenalinya orangnya sedang dan kulitnya putih kemerah-merahan. Dia memakai pakaian yang kuning. Dari kepalanya seperti menitis air walaupun rambut dan kepalanya tidak basah. Dia akan mengajak orang kepada Islam. Pada zamannya juga nanti dia akan menghancurkan segala agama kecuali Islam. Allah SWT akan membinasakan Dajal pada zamannya, bahkan di tangannya. Pada zamannya nanti dunia akan aman sehingga harimau dan unta berkawan dengan baik. Begitu juga harimau dengan lembu, serigala dengan kambing. Kanak-kanak akan bermain dengan ular dan ular itu tidak menggigit mereka. Keadaan seperti itu berjalan selama empat puluh tahun. Kemudian Nabi Isa a. s. wafat dan disembahyangkan oleh kaum muslimin. ”
Muhammad s. a. w adalah nabi penutup dan tidak akan ada lagi nabi sesudahnya. Turunnya Nabi Isa pada akhir zaman akan menguatkan lagi kebenaran agama Islam. Islam bererti menyerahkan segala urusan bagi Allah yang Maha Esa dan tidak ada sekutu bagi-Nya, beriman dengan semua Rasul, berserah kepada Allah dan taat dengan sebenar-benar taat. Itu semua sebenarnya sudah dianjurkan oleh agama-agama langit semenjak zaman Nabi Ibrahim, selaku bapa nabi-nabi, sampai kepada Muhammad s. a. w selaku nabi terakhir.
Isa a. s. adalah nabi dan rasul yang mulia, datang dari sisi Allah. Beliau dahulu sudah ada membawa syariat kepada umatnya tiba-tiba beliau diangkat ke langit. Nanti di akhir zaman beliau akan turun lagi dengan izin Allah tetapi bukan membawa agama atau syariat baru. Beliau datang nanti untuk menguatkan agama Islam,
Ummu Syuraik bertanya kepaad Rasulullah s. a. w tentang hari Dajal: “Ya Rasulullah, ke mana orang-orang Arab ketika itu?” Rasulullah s. a. w menjawab: “Jumlah mereka pada waktu itu terlalu sedikit. Mereka lari ke Baitul Maqdis menjumpai Imam mereka, seorang lelaki soleh (Imam Mahdi menurut riwayat itu).
“Ketika Imam mereka sudah berdiri di depan untuk mengimami solat Subuh, tiba-tiba datang Nabi Isa. Imam mereka itu mundur untuk memberi peluang kepada Nabi Isa untuk mengimami solat Subuh itu tetapi Isa a. s sambil memegang bahu Imam itu berkata: “Teruskanlah, sesungguhnya iqamat dibacakan untuk engkau. ” Maka sembahyanglah mereka semua di belakang Imam tadi.
“Selesai solat, Isa a. s berkata kepada semua jemaah: “Bukakan pintu itu. ” Mereka membuka pintu masjid itu, tiba-tiba Dajal sudah berdiri di situ dan di belakangnya ada 70, 000 Yahudi lengkap membawa senjata.
“Melihat Nabi Isa ada di dalam masjid itu, Dajal tiba-tiba saja layu atau cair seperti cairnya garam disirami air. Dajal itu lari terbirit-birit kerana ketakutan. Nabi Isa bersama kaum Muslimin terus saja mengejarnya kemudian menjumpainya di Babu Luddi. Dan di sanalah Nabi Isa membunuh Dajal itu.
“Orang-orang Yahudi pun akan dikalahkan dan dibinasakan Allah pada waktu itu. Mereka cuba lari dan bersembunyi tetapi semua benda tempat mereka bersembunyi akan pandai bercakap atau bercerita dengan izin Allah. Benda-benda dimaksud termasuklah dinding, batu, pokok kayu dan sebagainya. Kalau ada orang Yahudi yang bersembunyi di balik belakang mereka, benda-benda itu akan memberitahukannya. Termasuk juga satu pokok berduri (disebut pokok Yahudi), jika mereka bersembunyi di bawahnya, pokok itu akan berkata: “Wahai hamba Allah yang beriman, di sini ada orang Yahudi, bunuhlah dia. ”
Kata Rasulullah s. a. w lagi: “Dajal akan berada di dunia selama empat puluh tahun. Satu tahun lamanya seperti setengah tahun, terkadang seperti satu bulan. Satu bulan seperti satu minggu. Dan pada hari yang terakhir terasa sekejap sahaja. Pagi-pagi kamu berada di pintu masuk kota Madinah (Madinah pada zaman Rasul), sampai kamu di pintu yang lain hari pun masuk waktu malam. ”
Mendengar yang demikian ada yang bertanya: “Bagaimana kami mengerjakan solat dalam waktu yang begitu singkat ya Rasulullah?” Rasulullah s. a. w menjawab: “Ukur sajalah jaraknya dan bandingkan dengan waktu yang panjang sekarang ini. ”
Rasulullah s. a. w berkata: “Isa bin Maryam akan memimpin umatku dengan bijaksana dan adil. Beliau akan menghancurkan salib-salib yang ada di dunia ini dan akan membunuh semua babi. Beliau juga akan menghapuskan cukai. Manusia pada waktu itu tidak perlu membayar cukai, bahkan zakat pun tidak dibayar lagi kerana tidak ada orang yang berhak menerimanya.
“Pada hari itu semua makhluk dalam keadaan aman dan tenteram. Tidak ada saling cemburu, dengki, saling memarahi dan mengganggu antara sesama makhluk Allah. Sehingga ada anak perempuan yang bermain-main dengan harimau dan harimau itu tidak menerkamnya, begitu juga kambing berkawan dengan serigala. Seluruh dunia ketika itu nanti diliputi oleh kedamaian, keamanan dan ketenteraman. Bahkan ketika itu nanti tidak ada pertelingkahan keyakinan dan pendapat. Tidak ada yang disembah selain Allah.
“Orang Arab ketika itu nanti akan merampas kembali semua miliknya. Bumi mengeluarkan cahayanya, menumbuhkan tanam-tanamannya seperti zaman Nabi Adam. Sehingga manusia akan memetik buah anggur dan delima sehingga mereka kenyang memakannya. ”
Ibnu Katsir berkata: “Abdul Rahman Al-Muharibiy berkata: “Sebaiknya hadis ini dijadikan untuk mendidik saja. Hadis ini tidak sahih tetapi banyak hadis lain yang hampir sama maksudnya dengannya. Di antaranya ada diriwayatkan oleh Muslim dari Abdullah bin Umar, bahawa Rasulullah s. a. w bersabda: “Kamu akan memerangi orang-orang Yahudi. Kamu akan memerangi mereka habis-habisan sehingga batu tempat mereka bersembunyi pun akan berkata: “Wahai orang muslim, di sini ada orang Yahudi, bunuhlah dia. ”
Menurut riwayat, bumi nanti akan mengeluarkan segala khazanah kekayaannya, iaitu pada zaman Nabi Isa. Pada waktu itu dunia dalam keadaan makmur dan harta melimpah ruah, sehingga tidak ada lagi orang yang berhak menerima zakat.
Dari Abu Hurairah, katanya Rasulullah s. a. w bersabda: “Sudah hampir masanya turun kepada kamu Ibnu Maryam menjadi hakim yang adil, yang akan membunuh Dajal, membunuh babi, menghancurkan salib dan menghapuskan cukai kerana harta ketika itu melimpah ruah. Ketika itu nanti manusia hanya sujud kepada Allah Tuhan sekalian alam. ”
Diriwayatkan oleh Ahmad, dari Ibnu Mas’ud, dari Rasulullah s. a. w: “Pada malam aku diisrak mikrajkan, aku telah berjumpa dengan Ibrahim, Musa dan Isa a. s. Mereka membincangkan hari kiamat dengan menanyakan permasalahannya kepada Ibrahim. Tetapi beliau hanya menjawab: “Tidak ada pengetahuanku tentang hari kiamat. Cuba kalian tanya kepada Musa. ” Mereka tanya Nabi Musa tetapi beliau juga hanya menjawab: “Aku tidak tahu tentang kiamat. Cuba kalian tanyakan kepada Isa. ”
“Mereka tanyakan kepada Isa kemudian beliau berkata: “Sebenarnya tidak ada yang mengetahui masalah ini kecuali Allah. Menurut yang dijanjikan Allah kepadaku, Dajal nanti muncul sedangkan di tanganku ada dua sabit (alat pemotong). Sebaik saja Dajal itu melihat aku, dia pun hancur seperti hancurnya timah yang terkena panas. Allah akan membinasakannya, begitu juga orang-orang kafir lainnya. Sehingga batu dan pokok kayu nanti akan ikut berkata: “Wahai orang muslim, di bawahku ada orang kafir bersembunyi, marilah dan bunuhlah dia. ”
Kata Nabi Isa lagi: “Setelah Allah SWT membinasakan mereka, orang-orang muslim pulang ke rumah mereka masing-masing. Dalam keadaan demikian keluar pula Yakjuj dan Makjuj, yakni bertebaran dari segenap penjuru.
Kerana banyaknya Yakjuj dan Makjuj itu, maka semua kampung dan tempat tidak ada yang tidak dipijak oleh mereka. Mereka memakan semua makanan yang ada dan meminum semua air. Setelah habis makanan dan buah-buahan, daun-daunan pun habis mereka makan. Air sungai dan tasik semua habis mereka minum. ”
Tambah beliau lagi: “Orang-orang mukmin ketika itu tidak tahan melihat ulah Yakjuj dan Makjuj itu sehingga mereka memohon kepada Allah supaya dibinasakan binatang itu. Berkat doa mereka itu, Yakjuj dan Makjuj itu mati semua. Sekarang timbul masalah yang cukup besar lagi, yakni bangkai Yakjuj dan Makjuj yang bergelimpangan di mana-mana. Di mana-mana seluruh dunia terasa bau bangkai. Akhirnya Allah SWT menurunkan hujan lebat sehingga bangkai-bangkai itu hanyut ke sungai dan kemudian hanyut ke laut. ”
Diriwayatkan oleh Ismail bin Ishak, Rasulullah s. a. w bersabda: “Belum terjadi kiamat sebelum Isa bin Maryam berjalan di udara untuk mengerjakan haji dan umrah, atau sehinga Allah SWT menghimpunkan haji dan umrah dan menjadikan Ashabul Kahfi sahabatnya. Nabi Isa dan kelompok Ashabul Kahfi akan berjalan untuk mengerjakan haji kerana mereka selama ini belum mati dan belum pernah mengerjakan haji. ”
Sebelum ini sudah diterangkan riwayat dari Abu Hurairah yang mengatakan bahawa Nabi Isa a. s akan memimpin dunia nanti selama 40 tahun. Namun demikian disebutkan dalam sahih Muslim, dari Abdullah bin Amr bahawa Nabi Isa akan berada di dunia selama 7 tahun. Pendapat yang lebih kuat ialah yang mengatakan 40 tahun. Menurut Ibnu Katsir kedua-dua pendapat itu sama-sama benar. Maksudnya kata beliau Nabi Isa diangkat ke langit pada usia 33 tahun, kemudian turun nanti ke dunia selamaa 7 tahun lagi, yakni sebelum beliau diwafatkan Allah SWT. Setelah tujuh tahun memimpin dunia, Nabi Isa wafat. Maka umur Nabi Isa secara keseluruhannya 40 tahun. Wallahu A'lam.
Menurut Ibnu Katsir, sesuai dengan yang termaktub dalam hadis sahih, Yakjuj dan Makjuj akan keluar pada zaman Nabi Isa. Kemudian Allah SWT memusnahkannya berkat doa Nabi Isa pada satu malam. Ada juga disebutkan dalam hadis bahawa Nabi Isa akan mengerjakan haji setelah turun nanti. Muhammad bin Ka’ab Al-Quraiziy berkata, Ashabul Kahfi akan menjadi sahabat Nabi Isa nanti dan mereka akan sama-sama mengerjakan haji. Katanya Nabi Isa akan wafat di Madinah. Beliau akan disembahyangkan oleh kaum muslimin dan dimakamkan berdekatan dengan makam Rasulullah s. a. w.
Menurut riwayat, Isa bin Maryam akan dimakamkan bersebelahan dengan kuburan Nabi Muhammad s. a. w, kuburan Abu Bakar dan Umar. Bererti kuburan Nabi Isa merupakan kuburan yang keempat.



Ustaz Abd Aziz bin Harjin
Pensyarah Tamadun Islam
Universiti Teknologi MARA Perlis
02600 Arau 
PERLIS
MALAYSIA

013-4006206
04-9882701
abdazizharjin@perlis.uitm.edu.my
http://abdazizharjin.blogspot.com

Kejadian alam tanda kekuasaan dan keagungan allah s. w. t. serta hikmahnya

Oleh : Mohd Shahrul Amrie Bin Rusli

Allah S. W. T. Maha Berkuasa dan Maha Bijaksana menjadikan alam dan segala isi kandungannya untuk dimanfaatkan oleh manusia. Segala makhluk yang dijadikan oleh Allah S. W. T. dalam alam ini mengikut ketentuan-Nya yang tidak boleh ditafsir oleh manusia. Semua alam cakerawala yang ada di langit dan segala makhuk yang terdapat di bumi dijadikan untuk membantu manusia menjalankan aktiviti dalam kehidupan harian. Kejadian alam merupakan ketetapan Allah S. W. T yang azali. Ia merupakan anugerah-Nya kepada semua makhluk yang hidup di bumi ini. Kejadian alam terbahagi kepada dua iaitu kejadian alam di bumi dan kejadian alam cakerawala.

Salah satu tanda kekuasaan Allah S. W. T. ialah kejadian bumi dan segala isi kandungannya. Semua yang dijadikan oleh Allah adalah untuk manusia mengambil manfaat bagi menyempurnakan kehidupan mereka di bumi. Antara hikmah-hikmah kejadian bumi termasuklah sebagai tempat kediaman manusia, membuktikan kekuasaan Allah, sebagai tempat ujian kepada manusia terhadap amalan yang dilakukan, dan supaya manusia insaf bahawa kehidupan di bumi ini adalah sementara untuk menunggu ke alam yang kekal abadi (alam akhirat). Ia dapat dijelaskan dalam Al-Quran Al-Karim dalam Surah Al-Hadid, ayat 4 yang bermaksud “Dialah (Allah S. W. T. ) yang menciptakan langit dan bumi dalam masa enam hari”. Allah S. W. T. menjadikan bentuk muka bumi yang berbeza-beza antara satu tempat dengan tempat yang lain. Perbezaan ini mempengaruhi beberapa aktiviti kehidupan manusia dalam beberapa aspek. Allah menjadikan bukit-bukau, gunung-ganang, sungai, laut, tumbuh-tumbuhan, dan lain-lain untuk menjadi bahan bantu kepada manusia menjalani kehidupan di bumi ini. Hikmat-hikmat kejadian tersebut ialah membuktikan kekuasaan dan keagongan Allah, meningkatkan keimanan dan ketaqwaan kepada Allah, manakala bukit dan gunung merupakan pasak bumi yang meneguhkan kedudukan bumi. Oleh itu, Allah S. W. T. telah menganugerahkan akal fikiran dan ilmu pengetahuan kepada manusia supaya manusia berusaha mencari rahsia-rahsia yang terdapat di bumi untuk dimanfaatkan dalam kehidupan harian. Hasil daripada penyelidikan dan kajian yang dilakukan, manusia berjaya menemui berbagai-bagai bahan galian yang berharga dan bermutu tinggi dan ianya penting kepada pembangunan umat manusia seperti hasil dari tanaman dan dari laut.

Kejadian seterusnya ialah kejadian air. Air merupakan sumber yang amat penting kepada semua kehidupan di muka bumi ini. Tanpa air, semua makhluk tidak boleh meneruskan kehidupan. Air hujan yang turun dari langit membasahi bumi dan menyuburkan tanah-tanih yang sesuai dengan pelbagai jenis tanaman. Dengan adanya air, binatang dan tumbuh-tumbuhan dapat membiak dengan baik. Semua ini menghasilkan sesuatu yang lumayan kepada manusia. Allah S. W. T. Maha Berkuasa menjadikan air hujan yang turun dari langit. Kejadian hujan bermula apabila wap-wap air dari laut atau sungai tersejat dan berkumpul membentuk kumpulan awan. Apabila kumpulan awan telah sejuk dan berat, ia akan gugur ke bumi sebagai hujan. Memandangkan air amat berharga kepada kita, maka kita hendaklah bertanggungjawab menggunakan air dengan sebaik-baiknya, misalnya berjimat-cermat menggunakan air, tidak mencemarkan air dengan bahan beracun, tidak membuang sampah-sarap ke dalam sungai, dan sebagainya.

Kejadian tumbuh-tumbuhan juga menunjukkan kekuasaan Allah S. W. T. Tumbuh-tumbuhan yang beraneka jenis yang terdapat di bumi ini adalah untuk memberi kesenangan kepada manusia di samping memperoleh beberapa manfaat untuk memenuhi keperluan hidup manusia. Tumbuh-tumbuhan dan tanaman merupakan penyempurnaan kepada kehidupan manusia dan lain-lain makhluk Allah. Dengan itu, manusia dan binatang memperoleh makanan yang sangat penting untukmeneruskan hayat di bumi ini. Hasil tanaman juga merupakan sesuatu sumber yang penting kepada pembangunan sesebuah negara. Ia juga penting kepada keindahan alam sekitar. Tumbuhan ini juga penting untuk menghalang daripada terjadinya hakisan dan tanah runtuh yang mengancam manusia. Suhu yang panas juga dapat dikurangkan dengan adanya tumbuhan kerana ia menyerap gas karbon dioksida dan membebaskan gas oksigen. Manusia dapat mengeksploitasi tumbuhan sebagai bahan makanan, dan pelbagai jenis ubat diperoleh daripadanya. Kita hendaklah bertanggungjawab menjaga tumbuh-tumbuhan daripada dimusnahkan dengan sewenang-wenangnya. Sekiranya perbuatan tersebut dibiarkan, segala manfaat daripada tumbuh-tumbuhan tidak dapat dinikmati oleh generasi akan datang.

Kemudian, Allah menjadikan berbagai-bagai jenis binatang yang terdiri daripada ternakan dan bukan ternakan. Kejadian ini juga membuktikan kekuasaan dan keagungan Allah S. W. T. Binatang-binatang ternakan (an’am) yang terdiri daripada kambing, biri-biri, lembu, kerbau, unta dan sebagainya mendatangkan faedah yang besar kepada manusia. Allah telah berfirman dalam Surah An-Nahl, ayat 5 yang bermaksud “Dan binatang ternakan itu, Dia jadikan buat kamu dan kamu mendapat (pakaian) kehangatan dan banyak manfaat dan dagingnya dapat kamu makan”. Semua ternakan yang halal boleh dimakan dagingnya, kulitnya pula dijadikan untuk kegunaan manusia. Bagi binatang yang tidak halal dimakan, manusia boleh mengambil kulitnya untuk dijadikan pakaian dan barang-barang perhiasan setelah disamak. Ternakan juga boleh digunakan untuk mengangkut barang-barang dan hasil pertanian dari satu tempat ke tempat yang lain. Ternakan juga dapat mengeluarkan hasil yang besar kepada sesebuah negara jika diternak secara komersial. Segala kejadian dari Allah S. W. T. merupakan kurniaan rezeki kepada manusia. Oleh sebab itu, kita hendaklah menyayangi binatang peliharaan untuk kebaikan bersama. Kita dilarang menganiayai atau mencederakan binatang kerana binatang sangat berguna kepada manusia.

Selain itu kejadian air laut yang masin dan air sungai yang tawar membuktikan kebijaksanaan dan ketinggian ilmu Allah S. W. T. jika dibandingkan dengan manusia. Hal ini telah dijelaskan oleh-Nya dengan terang sebagaimana yang dinyatakan di dalam firman-Nya yang terkandung di dalam kitab suci Al-Quran dalam Surah Ar-Rahman ayat 19-20 yang bermaksud, “Dia kirimkan dua macam laut (masin dan tawar) yang bertemu kedua-duanya ada dinding (sehingga) tiada bercampur kedua-duanya”. Kejadian laut dan segala hidupan di dalamnya merupakan rahmat kurniaan Allah kepada manusia. Hal ini demikian kerana ia merupakan tempat untuk memperoleh sumber rezeki. Beberapa buah negara di dunia telah menjadikan hasil tangkapan laut sebagai sumber pendapatan individu dan negara. Oleh sebab itu, manusia hendaklah menjaga laut dari sebarang pencemaran dan kotoran. Keadaan laut yang tercemar menyebabkan segala hidupan di dalamnya akan mati.

Allah yang Maha Berkuasa juga telah menjadikan bahan galian yang terdapat dalam perut bumi. Bahan-bahan galian tersebut seperti emas, perak, permata, logam dan lain-lain. Allah S. W. T. menyediakan berbagai-bagai jenis bahan galian yang bermutu tinggi. Ia sangat diperlukan untuk membangun dan memajukan hidup manusia. Dengan kemahiran dan ilmu yang ada, manusia berjaya memproses dan mengolahnya supaya sesuai digunakan untuk kemudahan manusia. Bahan-bahan kurniaan Allah itu dapat digunakan untuk membina bangunan, membuat kenderaan, membuat peralatan rumah, dan lain-lain untuk kemudahan manusia. Selain itu, Allah turut mengurniakan petroleum yang terdapat di perut bumi yang terdapat di sesetengah tempat di dunia ini. Petroleum memberikan sumbangan yang besar terhadap kemajuan sesebuah negara. Contohnya, Mesir, Arab Saudi dan Kuwait merupakan negara yang kaya-raya dan maju kerana hasil minyak sejak beberapa tahun yang lampau.

Kejadian alam yang kedua ialah kejadian alam cakerawala. Allah S. W. T. Maha Berkuasa menjadikan alam cakerawala untuk membantu kehidupan manusia dan makhluk-makhluk lain yang terdapat di bumi ini dalam menjalani kehidupan harian. Kejadian alam cakerawala sungguh indah dan unik. Ia berada dalam keadaan terapung-apung di angkasa dan beredar mengikut paksi yang ditetapkan oleh Allah S. W. T. sejak azali lagi. Semua kejadian alam cakerawala ini mempunyai tujuan yang tertentu. Hanya dia saja yang mengetahui rahsianya. Allah telah berfirman dalam Surah Yunus ayat 5 yang bermaksud, “Dialah yang menjadikan matahari terang-benderang dan bulan bercahaya. Dialah yang menentukan perjalanan tiap-tiap satu itu pada tempat peredaran supaya kamu dapat mengetahui bilangan tahun dalam kiraan masa”.

Allah juga menciptakan berbagai-bagai keadaan seperti cuaca panas dan sejuk, ribut, kilat, guruh, hujan, musim yang berubah-rubah, dan iklim yang berlainan antara satu kejadian tersebut membuktikan keagungan, kebijaksanaan, dan kekuasaan Allah S. W. T. Keadaan alam cakerawala dan kejadian cuaca membawa rahmat kepada manusia, binatang, tumbuh-tumbuhan, dan makhluk-makhluk lain di muka bumi ini. Dengan hal yang demikian, manusia hendaklah mengagungkan kebesaran dan kekuasaan Allah.

Kejadian matahari dan bumi adalah antara kejadian cakerawala daripada Allah. Matahari adalah cakerawala yang sangat penting kepada seluruh kehidupan di bumi ini. Tumbuh-tumbuhan memerlukan tenaga yang terdapat pada matahari untuk membuat makanan semasa proses fotosintesis. Matahari terdiri daripada gas yang amat panas. Ia kelihatan lebih besar dan lebih cerah kerana kedudukannya lebih dekat dengan bumi. Matahari dikelilingi oleh planet lain seperti Utarid, Zuhrah, Marikh, Musytari, Zuhal, Uranus, dan Neptun. Matahari mempunyai 67 unsur dan unsur-unsur yang terkenal ialah hidrogen, helium, karbon, oksigen, fosforus, dan besi. Bumi ialah planet ketiga yang terdekat dengan matahari. Jaraknya kira-kira 150 juta kilometer. Permukaan bumi terdiri daripada kira-kira 30% benua dan 70% air. Bumi mengelilingi matahari selama 365¼ hari. Pada masa yang sama, bumi berputar pada paksinya selama 24 jam yang menyebabkan terjadinya malam dan siang. Peredaran ini juga menyebabkan terjadinya kitaran angin dan awan yang mempengaruhi keadaan iklim sesuatu tempat.

Di samping itu juga, bulan merupakan cakerawala yang penting kepada kehidupan manusia. Kejadiannya membuktikan kekuasaan dan kebijaksanaan Allah S. W. T. Dengan berdasarkan pendapat ahli sains, bulan lebih kecil daripada bumi. Jarak antara bulan dan bumi kira-kira 385000 km. Semasa bulan berputar mengelilingi bumi, matahari memancarkan cahayanya ke beberapa bahagian permukaannya. Dengan ini, terjadilah awal bulan (bulan sabit), pertengahan (bulan purnama) dan akhir bulan. Pusingan peringkat peredaran bulan akan menentukan perjalanan waktu, hari, minggu, bulan, dan tahun. Ia juga menentukan cuaca dan iklim sesuatu tempat. Berlakunya air pasang dan air surut disebabkan oleh putaran bulan. Terjadinya hal ini bergantung daripada tarikan graviti bulan pada permukaan bumi. Dalam Surah Yasin, ayat 39, Allah telah berfirman yang bermaksud, “Dan bulan pula Kami takdirkan beredar melalui berbagai-bagai peringkat hingga ke akhir peredarannya kelihatan kembalinya ke peringkat awal seperti tandan yang kering”. Bulan mengambil masa 271⅓ hari (27 hari 8 jam) untuk melengkapkan satu pusingan mengelilingi bumi.

Allah S. W. T. juga menjadikan bintang di dalam cakerawala. Keindahan bintang-bintang bertaburan di langit pada waktu malam membuktikan kekuasaan dan kebijaksanaan Allah. Bintang-bintang bertaburan kadangkala berada dalam satu kumpulan atau gugusan yang dinamakan Buruj. Bintang sebahagian besarnya terdiri daripada gas hidrogen. Gas ini memberikan bahan api kepada relau nuklear bintang tersebut yang mengeluarkan haba dan cahaya. Mengikut pendapat ahli astronomi, sekurang-kurangnya terdapat 1 000 000 juta bintang di langit. Bintang-bintang bergemerlapan di langit pada waktu malam boleh dijadikan pedoman oleh ahli pelayaran dan pengembara. Bintang-bintang boleh menunjukkan arah yang hendak dituju. Dengan adanya bintang, secara tidak langsung memberikan peluang kepada manusia membuat penyelidikan yang melahirkan ilmu kaji bintang, ilmu kaji bumi, dan ilmu falak.

Seterusnya, kejadian angin dan awan membawa rahmat yang tidak terhingga kepada manusia dan makhluk-makhluk Allah yang lain di bumi ini. Angin terjadi daripada pergerakan udara dari kawasan yang mempunyai tekanan yang tinggi ke kawasan tekanan yang rendah. Pelbagai kegunaan angin kepada makhluk Allah di bumi. Antara kegunaan-kegunaannya ialah termasuklah menyegarkan tubuh badan manusia daripada bahang cahaya matahari, membantu proses pendebungaan tumbuh-tumbuhan untuk pembiakan, dan menggerakkan awan untuk mempercepat proses penurunan hujan. Kilat dan guruh sering berlaku apabila hampir hujan. Kedua-duanya berlaku serentak. Walaupun begitu, kita dapati pancaran kilat lebih dahulu, kemudian diikuti bunyi guruh. Hal ini demikian kerana pergerakan cahaya lebih pantas daripada bunyi. Allah telah menyatakannya dalam Surah Ar-Rum, ayat 48 yang bermaksud, “Dialah yang mengirimkan angin, lalu angin itu menggerakkan awan, maka Allah S. W. T. membentangkannya di langit menurut yang dikehendaki-Nya dan menjadikannya bergumpal-gumpal lalu kamu lihat air keluar daripada celah-celahnya”
.
Tambahan itu, Allah Maha Berkuasa menjadikan siang dan malam yang silih berganti. Peredaran cakerawala yang mengikut ketetapan Allah menyebabkan terjadinya hal yang sedemikian. Ia jelas dinyatakan dalam Surah Al-Lail ayat 1-2, yang bermaksud, “Demi malam apabila menutupi (cahaya siang), dan siang apabila terang-benderang”. Kejadian siang dan malam banyak memberi faedah kepada manusia. Antaranya ialah supaya manusia berusaha mencari rezeki pada waktu siang, untuk manusia berehat pada waktu malam, dan membolehkan manusia beribadat kepada Allah dengan khusyuk pada waktu malam kerana waktu tersebut terhindar daripada gangguan dan kebisingan.

Oleh hal demikian, umat Islam hendaklah mengambil iktibar daripada kejadian-kejadian ini seperti mentaati segala perintah Allah dengan ikhlas, menggunakan segala kurniaan Allah pada perkara-perkara kebaikan, mengetahui bahawa semua kejadian Allah adalah untuk kemudahan manusia, dan menginsafi bahawa tanpa bantuan alam cakerawala, manusia tidak dapat hidup dengan sempurna.

Kejadian alam cakerawala memberikan pelbagai hikmah kepada kehidupan di bumi. Antaranya ialah membuktikan kebijaksanaan dan kekuasaan Allah S. W. T., meningkatkan keimanan dan ketaqwaan kepada Allah, dan membantu kehidupan makhluk-makhluk di alam ini supaya dapat menjalani kehidupan dengan sempurna. Di samping itu, ia dapat membantu manusia mencari rezeki pada watu siang manakala berehat dan beribadat kepada Allah pada waktu malam. Ahli-ahli sains pula dapat membuat penyelidikan dan kajian untuk menerokai rahsia-rahsia alam. Sementara itu, kejadian cakerawala dapat mempengaruhi iklim dan cuaca sesuatu tempat yang memberi kesan kepada produktiviti perekonomian manusia.

Kurniaan Allah kepada hamba-Nya terlalu banyak. Dengan adanya kurniaan-kurniaan tersebut manusia dapat menjalani kehidupan dengan sempurna. Anugerah Allah kepada manusia terlalu banyak sehingga tidak dapat dihitung. Semua kurniaan-Nya jika diusahakan besar-besaran dan mengikut kaedah sains dan teknologi akan mendatangkan faedah-faedah yang besar kepada manusia. Dengan ini, ia dapat menyumbang kepada kemajuan dan pembangunan sesebuah negara.

Manusia hendaklah bersyukur kepada Allah atas segala kurniaan-Nya. Antara cara-cara bersyukur kepada Allah S. W. T. ialah memanfaatkan segala kurniaan-Nya untuk kebaikan bersama dan menjaga anugerah-Nya dengan cara yang baik. Kita juga seharusnya mengingati keagungan-Nya dengan membanyakkan berzikir, membaca Al-Quran dan menghayati isi kandungannya.

Di samping itu juga, manusia perlulah mencari keredhaan Allah S. W. T. Manusia disuruh berfikir tentang kejadian alam yang terdapat di sekeliling mereka untuk dijadikan iktibar. Bagi golongan yang beriman pula, pemerhatian terhadap ciptaan Allah dapat meningkatkan keimanan dan ketaqwaan kepada-Nya. Ia telah dinyatakan dalam Al-Quran melalui Surah Luqman ayat 20, yang beerti, “Tidakkah kamu perhatikan bahawa Allah S. W. T. telah mengadakan apa yang di langit dan di bumi untuk kamu dan dicukupkan kurniaan-Nya zahir dan batin…. ” Manusia disuruh berfikir dan memerhatikan keagungan ciptaan-ciptaan-Nya dengan beberapa tujuan. Misalnya, untuk mencari rahsia alam ciptaan Allah, mengetahui kekuasaan dan kebijaksanaan Allah terhadap makhluk ciptaan-Nya serta menambahkan ilmu pengetahuan dan penguasaan terhadap beberapa kemahiran. Malah, ia juga bagi melahirkan individu yang bersyukur dan menyayangi sesama makhluk Allah S. W. T.

Malahan itu juga, kita haruslah mengamalkan beberapa perkara untuk mencapai keredaan-Nya. Perkara-perkara tersebut termasuklah sabar dan tabah ketika menerima ujian dan dugaan daripada-Nya, mengerjakan amal ibadah dengan ikhlas dan sempurna, serta patuh pada perintah-Nya. Kita juga mestilah menggunakan segala kurniaan Allah secara tidak membazir, menjaga hubugan sesama manusia dan dengan alam sekitar, di samping bertawakal kepada Allah dalam setiap usaha yang dilakukan sambil berdoa untuk memperoleh kejayaan. Secara ringkasnya, kita perlulah mencari keredaan Allah kerana kejadian alam yang terdapat di langit mahupun di bumi jelas membuktikan kekuasaan dan kebijaksanaan Maha Penciptanya.

Sebagai ganjaran dan balasan, Allah S. W. T melantik manusia sebagai khalifah-Nya di bumi ini untuk mengurus dan membangunkan alam ini dengan berlandaskan syariat Islam. Sebagai khalifah Allah, manusia bertanggungjawab terhadap alam ini. Pelbagai tanggungjawab tersebut termasuklah membangunkan alam ini berdasarkan syariat Islam, memakmurkan bumi ini dengan perkara kebaikan dan mencegah kemungkaran, serta memelihara dan memulihara alam ini bagi mengekalkan keaslian ciptaan Allah di bumi ini. Dengan tindakan-tindakan tersebut, manusia akan mencapai kejayaan di dunia dan di akhirat, keindahan alam sekitar terjamin, manusia dapat hidup dalam kedamaian, dan dapat menjamin keselamatan semua makhluk Allah di bumi ini.

Namun demikian, Allah sangat melarang manusia melakukan sebarang kerosakan terhadap alam ciptaan-Nya sama ada di darat, di laut, ataupun di udara. Antara kerosakan yang sering dilakukan oleh manusia termasuklah pembakaran hutan yang berleluasa, tumpahan minyak dan bahan beracun ke dalam laut atau sungai, serta pencemaran udara oleh asap dari kilang-kilang dan kenderaan tanpa dikawal. Larangan ini dijelaskan oleh Allah S. W. T. dalam Al-Quran dalam Surah Luqman ayat 20, yang bermaksud, “Dan janganlah engkau melakukan kerosakan di bumi, sesungguhnya Allah S. W. T. tidak suka kepada orang-orang yang melakukan kerosakan”. Sebahagian besar kerosakan yang berlaku di muka bumi ini mendatangkan kesan buruk kepada manusia, haiwan, dan alam sekitar. Misalnya, menyebabkan manusia sukar bernafas dan hidupan akuatik banyak mati, menyebabkan berlakunya hakisan tanah, dan juga boleh membawa kepada persengketaan sesama manusia.

Sebagai kesimpulannya, semua kejadian alam yang terdapat di sekeliling kita adalah untuk kesenangan dan kesejahteraan hidup manusia. Mengamalkan sifat wasatiah (sederhana) akan membawa kejayaan kepada seseorang. Pelajar hendaklah mengamalkannya sebagai dorongan ke arah kecemerlangan dalam bidang akademik. Rahmat yang diperoleh daripada alam cakerawala sangat banyak. Oleh sebab itu, kita hendaklah menjadi hamba yang bersyukur terhadap rahmat tersebut. Umat Islam hendaklah menjelajah ke beberapa tempat di dunia ini untuk melihat kelebihan ciptaan Allah bagi menambahkan dan mengembangkan ilmu pengetahuan. Di samping itu, membuat pemerhatian dan berfikir tentang ciptaan Allah dapat menambah dan mengukuhkan keimanan kepada Allah. Allah akan memberi ganjaran pahala yang besar kepada orang yang sentiasa bersyukur kepada-Nya…Insya Allah…Amin…


Ustaz Abd Aziz bin Harjin
Pensyarah Tamadun Islam
Universiti Teknologi MARA Perlis
02600 Arau 
PERLIS
MALAYSIA

013-4006206
04-9882701
abdazizharjin@perlis.uitm.edu.my
http://abdazizharjin.blogspot.com


Cara-cara Melengkapkan Diri Untuk Kesempurnaan di Dunia Dan di Akhirat.

Oleh: Nur’aadila Binti Kaman

Kita sering melupakan mati sedangkan ia tidak pernah melupakan kita. Kita pura-pura jahil dengannya sedangkan ia mengenali kita, dan sentiasa menunggu kita. Sememangnya, kita tidak dapat mengetahui siapa yang bakal diziarahinya kelak. Allah berfirman, “Sesungguhnya engkau (wahai Muhammad) akan mati, dan sesungguhnya mereka juga akan mati. ” (Az-Zumar: 30) Justeru, haruslah kita membekalkan diri kita dengan bekalan-bekalan yang seharusnya sebelum ajal menemui kita. Seperti yang kita semua telahpun mengetahui, jalan yang paling mudah untuk menemui ketenangan di akhirat nanti adalah melalui amal ibadat, dan tiada pengganti lain untuk ilmu agama ini. Walau bagaimanapun, untuk menyempurnakan lagi diri kita sebelum menghadap Pencipta yang Maha Agung, bukan sahaja harus kita melengkapkan diri kita dengan bekalan ilmu agama dan ibadat, tetapi juga betapa perlunya kita kepada keselamatan dalaman iaitu perbaikan manusia terhadap dirinya dan juga sesama manusia, yang bermaksud agar manusia tidak menjadikan dirinya makmur dengan kedengkian dan iri hati bahkan hendaklah menjadikannya sebagai taman-taman yang menghijau dari kecintaan dan keimanan, dan indah permai dari akhlak yang mulia. Bukan sahaja dapat kita menjamin ketenangan selepas hidup ini, malah dapat kita memudahkan dan juga meringankan beban kita semasa menjalani kehidupan di dunia ini, sekaligus mendapat berkat dan hidayah dariNya buat bekalan di hari esok.
Terdapat pelbagai cara untuk kita mencantikkan diri kita dari segi dalaman. Salah satu caranya adalah dengan sabar. Sabar adalah bekalan yang lebih berharga dari seluruh bekalan yang lain, sabar dalam liku-liku hidup yang panjang, sabar atas pemulauan kaum keluarga, kederhakaan anak, pemergian sahabat, kebencian orang yang dengki, sabar atas kefakiran dan kesakitan penyakit. Apabila mendengar kalimat celaan, maka hendaklah kita tutup telinga kita dan bersabar agar lencana kepujian yang kekal tidak tercabut dari kita. Sesiapa yang mempunyai kesabaran maka dia telah memiliki khazanah perbendaharaan yang lebih besar di dunia, lalu kita sentiasa reda, tersenyum dan murah hati, tersenyum menghadapi krisis, dan tersenyum menghadapi kematian. Oleh itu, bersabarlah, kerana Allah menyukai orang-orang yang bersabar.
Senyuman adalah sedekah, anugerah Rabbaniyah dan keceriaan wajah ialah pemberian Ilahiyah. Rasulullah s. a. w. bersabda, “Senyuman pada wajah saudaramu adalah sedekah bagimu. ” Betapa mulia risalah ini yang menjadikan keceriaan wajah sebagai amal soleh hamba yang diberi pahala kepadanya, dan sebaliknya bermasam muka adalah tanda kesempitan jiwa, keberatan roh dan kebengkokan akhlak. Kita perlu kepada senyuman, senyuman rahmat kepada kedua ibu bapa, senyuman penghormatan kepada orang alim, senyuman belas kasihan kepada orang kurang senang, senyuman cinta kasih kepada isteri, dan senyuman keikhlasan kepada sahabat. Rasulullah yang suka tersenyum, berwajah ceria dan berakhlak mulia, oleh itu tuhan berfirman kepadanya, “Dan bahawa sesungguhnya engkau mempunyai akhlak yang amat mulia. ” (Al-Qalam 4)
Sifat kemaafan juga adalah salah satu ciri terpuji yang patut dimiliki oleh seseorang ke arah membentuk peribadi muslimin yang mulia. Apabila kita mendengar kalimat celaan dari saudara kita, memburuk-burukkan kita, apabila dicemuh, dipulau dan disakiti, maka berilah kemaafan kepadanya. Untuk kedamaian dan ketenangan, untuk membahagiakan diri dan orang lain, perlulah kita mengakhiri kitaran benci dan dengki ini dengan kemaafan. Sesungguhnya, jauh lebih mudah untuk kita membenci daripada memberi kemaafan kepada orang yang telah mensakiti diri kita. Justeru, dapat dilihat betapa baik dan tabahnya diri umat yang dapat memberi kemaafan. Orang yang suka bertolak ansur akan hidup aman damai dan beroleh rahmat, dan adapun orang yang berdendam dan bersikap pemarah akan hidup dalam kerugian dan kekesalan. Allah s. w. t. berfirman, “Dan orang-orang yang menahan kemarahannya, dan orang-orang yang memaafkan kesalahan orang. Dan (ingatlah), Allah mengasihi orang-orang yang berbuat perkara-perkara yang baik. ” (Ali-Imran- 134)
Selain itu, untuk memperolehi ketenangan dan keterangan hati, haruslah kita sentiasa bersedia untuk membuka hati kita kepada segala kemungkinan yang mungkin dibawa oleh hidup ini. Hati orang mukmin besar, jika Allah menghendaki, nescaya dijadikannya lebih luas dari langit dan bumi, dan jika dikehendaki dijadikannya lebih sempit dari lubang jarum. Jika diri kita sendiri mahu, kita boleh membuka hati kita kepada iman, kecintaan, persahabatan, dan keikhlasan dan kita juga mampu menutupnya dengan kebencian, kecaman, keluhan dan berpaling. Kunci hati kita milik kita sendiri dan kita masing-masing mempunyai kebolehan untuk membuka hati kita kepada pelbagai kebaikan yang dapat melapangkan dada kita dari segala kejahatan dan kekotoran hasad dengki. Haruslah kita memasukkan diri kita ke dalam golongan orang-orang yang melihat kebaikan, memandang keindahan, dan menyaksikan sudut-sudut kecemerlangan, maka dapatlah kita memiliki hati yang baik mulia. Janganlah kita termasuk ke dalam golongan orang-orang yang suka membesar-besarkan kesalahan, memandang separuh cawan kosong dan berhati keras dan gersang seperti padang pasir. Lihatlah kehijauan dan keindahan alam dan bukannya duri-duri yang bisa melukai, dan lihatlah bintang-bintang yang bersinar terang dan bukannya kegelapan langit malam. Maka bersihkanlah hati dan jadilah hamba Muslim yang benar dalam perkataannya setiap hari kepada saudaranya, “Assalamualaikum”.
Seterusnya, sebelum manusia menasihati dan memberi petunjuk kepada orang lain, sepatutnya dia memulai dengan dirinya sendiri, bagaimana manusia dapat menegakkan orang lain sedangkan dirinya pincang? Bagaimana dia merawat sedang diri dia sakit? Bagaimana dia membimbing sedangkan dia buta? Betapa bahagianya orang yang memperhatikan keaibannya terdahulu tanpa menyibukkan diri dengan keaiban orang lain, sesungguhnya kita mempunyai kesalahan-kesalahan yang meliputi seluruh umur kita, maka adakah kita masih mempunyai waktu untuk menyibukkan diri mencelah, mengkritik dan melukai orang lain? Sesungguhnya di antara hikmat dan kebenaran ialah hendaklah kita bermula dengan diri kita yang ammarah bissu’. “Patutkah kamu menyuruh manusia supaya berbuat kebaikan sedang kamu lupa akan diri kamu sendiri”. (Al-Baqarah: 44) Di dalam pergaulan seharian, tiada seorang yang pun yang suka melihat orang yang gemar ‘menjaga tepi kain orang lain’. Sifat ini hanyalah dapat mendatangkan persepsi yang buruk kepada diri sendiri, bahkan pula seluruh umat Islam. Maka untuk mencantikkan lagi diri dari segi dalaman, hindarilah sifat yang jelik ini.
Untuk perhubungan sesama manusia pula, sepatutnya kita membentang jambatan-jambatan penghubung dengan saudara-saudara kita dan jangan menunggu perhubungan dari mereka, bermulalah kita dengan langkah pertama. Sesungguhnya orang-orang yang mulia adalah orang yang menanamkan kecintaan dalam hati dan menyemarakkan kasih mesra di dalam diri sendiri, dan juga di antara saudara mara kita. Para hikmah berkata dalam satu hari kita mampu mencipta seribu musuh akan tetapi dalam satu tahun adakalanya kita tidak mampu mencari satu sahabat, sesungguhnya orang berakal yang bijaksana kalimatnya yang lemah lembut dan perbuatan-perbuatannya yang indah akan sampai ke dalam hati-hati manusia, lalu mereka membuka hati untuknya, dan menundukkan atas singahsana roh-roh mereka. Haruslah kita membina dan mengekalkan semangat ukhuwah di antara umat demi kekuatan Islam. Bukan sahaja dapat kita memperbaik akhlak dan tingkah laku, tetapi dapat juga kita mendapat pahala dan berkat dari Allah s. w. t.
Tambahan pula, Islam melarang egois mementingkan diri sendiri dalam kehidupan Muslim, ia mengajak kepada amal yang membuahkan hasil, dan manfaat yang sampai kepada orang lain dengan tersenyum, gembira, memberi salam, berbuat kebaikan, bersedekah, melawat orang sakit, berziarah, bermurah hati dan berlemah lembut. Semuanya adalah keistimewaan yang ada dalam dada orang-orang yang suci, orang-orang yang ikhlas dan wali-walinya. “Maka sesiapa berbuat kebajikan seberat zarah, nescaya akan dilihatnya (dalam surat amalnya)! Dan sesiapa berbuat kejahatan seberat zarah, nescaya akan dilihatnya (dalam surat amalnya)!”(Al-Zalzalah; 7-8)
Dalam usaha merapatkan silaturrahim di antara saudara mara kita, kita juga sepatutnya menghargai pandangan orang lain jika ia tidak merosakkan asas yang telah disepakati ulama dan orang-orang yang berakal. Seseorang yang berdebat dengan orang lain, membantah atau mengkritik mereka tidak boleh memakai sahsiah kemaksuman dan mendakwakan bahawa pertolongan Rabbaniyah mengkhaskannya dengan kebenaran dan tanpa orang lain. “Dan sesungguhnya (tiap-tiap satu golongan), sama ada golongan kami ahli tauhid atau golongan kamu ahli syirik – (tidak sunyi daripada salah satu dari dua keadaan): keadaan tetapnnya di atas hidayah petunjuk atau tenggelamnya dalam kesesatan yang jelas nyata. ” (Saba’ : 24) Untuk menggalakkan penyuaraan isi-isi hati dan kehidupan di dalam masyarakat yang aman dan tidak dipenuhi ketidakpuasan hati, hendaklah kita mengambil masa untuk mendengar buah-buah fikiran saudara-saudara kita dan harus juga kita bersedia untuk bertolak ansur dan membuka hati kita kepada pendapat orang lain yang besar kemungkinan tidak sehaluan dengan kita. Kita semua dicipta dengan akal fikiran, maka janganlah kita menghalang saudara kita dari berfikir dan berdebat, tetapi galakkanlah pemikiran terbuka dan pendapat-pendapat yang baru dan bernas.
Seperti yang kita tahu, lumrah manusia sememangnya diselubungi serba kekurangan. Sifat yang dimiliki oleh ramai manusia ini tetapi tiada yang berani mengakuinya, iaitu sikap suka lari dari tanggungjawab. Apabila kita mencapai kejayaan, semua mendakwanya, tetapi apabila terjadi krisis, semuanya berlepas diri daripadanya. Maka dalam kejayaan, kita bertelingkah. Semuanya memandang bahawa dia sahaja penyebab kejayaan bahkan bila ditimpa bencana disebabkan perbuatan tangan-tangan sendiri, maka setiap orang dari kita melemparkan tanggungjawab itu kepada orang lain. Sesungguhnya, setiap dari kita mempunyai saham dalam setiap kejayaan pada peringkat umat dan tanah air, semuanya mengikut tanggungjawab dan kedudukannya. Begitu juga setiap dari kita mempunyai saham dalam krisis. Oleh itu, jalan penyelesaiannya hendaklah kita meneruskan kejayaan dan mengakui tanggungjawab, memperbaiki keadaan, dan tidak melemparkan kesalahan kepada orang lain. “(Patutkah kamu melanggar perintah Rasulullah)? Dan (kemudiannya) apabila kamu ditimpa kemalangan (dalam peperangan Uhud), yang kamu telahpun memenangi seperti itu sebanyak dua kali ganda (dengan menimpakan kemalangan kepada musuh dalam peperangan Badar), kamu berkata: dari mana datangnya (kemalangan) ini? Katakanlah (wahai Muhammad): Kemalangan itu ialah dari kesalahan diri kamu sendiri (melanggar perintah Rasulullah)” (Ali Imran: 165) Bagaimana harus kita mencerminkan peribadi yang mulia jika kita tidak membetulkan kecacatan tingkah laku yang amat mengaibkan ini?
Selain itu, kekurangan manusia juga adalah pada semangat dan motivasi dirinya. Sebahagian manusia sering dikuasai perasaan putus asa, putus harapan dan memandang rendah dirinya. Dia memandang bahawa umat Islam tidak akan mampu berdiri tegak, kaum muslimin dalam kemunduran, harga barang-barang naik dan ekonomi semakin meruncingkan, kaum remaja diabaikan, kaum wanita keletihan, para ulama muflis dan para pendakwah berangan-angan. Walau bagaimanpun, dalam masyarakat sememangnya terdapat ulama-ulama, orang mulia, orang-orang zuhud, ahli ibadah, orang-orang baik dan orang-orang dermawan yang masih tegak dan sedar, maka janganlah kita begitu senang berputus asa. Masjid-masjid kita masih penuh dengan orang-orang sembahyang, dan pelajar-pelajar masih membaca al-Quran yang masih kekal. Jika demikian maka kita telah berada dalam kebaikan, lalu mengapa berputus asa? Bertawakkallah kepada Tuhan dan sentiasalah kita mengharapkan bantuanNya. Sesungguhnya, tiada keraguan kita akan menang selama Allah bersama-sama kita. “Allah akan memberikan kesenangan sesudah berlakunya kesusahan. ” (At-Talaq: 7) Maka buanglah sifat yang melemahkan ini, untuk mencerminkan umat Islam yang tabah dan kuat menghadapi rintangan, seperti orang-orang terdahulu, yang berjuang untuk Islam, agama yang dapat kita banggakan pada hari ini.
Tambahan lagi, untuk memperbaikkan diri kita ke arah pembentukan akhlak yang mulia, haruslah kita menerima suatu hakikat tentang diri kita sendiri dan juga saudara mara kita, iaitu tiada diri yang terkecuali atau maksum dari kesalahan dan kekurangan. Apabila kita melihat satu sikap saudara kita, dan tidak mampu kita menafsirkannya atau tingkah laku yang tidak layak dimaafkan, maka maafkanlah dia. Sesungguhnya tiada yang maksum dari segala kesalahan selain Muhammad s. a. w. Pada ketika seperti ini, maka ingatlah sifat-sifat saudara kita ini yang baik, dan janganlah melakukan tindakan buruk terhadap sikapnya yang terakhir, lalu kita mungkin akan kehilangan ramai sahabat dan juga saudara. Setiap dari diri kita tidak pernah terlepas dari kesalahan-kesalahan, keaiban dan kekurangan. Adakah kita mencari teman yang tidak pernah melakukan kesalahan, dan tidak pernah melakukan keburukan? Sememangnya, kita memerlukan seorang yang maksum, seorang Rasul, jika demikian maka lihatlah kepada Muhammad s. a. w. Walau bagaimanapun, di antara sesama kita, pejamlah pandangan, beri kemafaan, tutupi kesilapan dan lupakan kesalahan dan kenanglah kebaikan. Wahai saudaraku, hadapilah manusia atas keadaan-keadaan mereka, utamakan kemafaan pada apa yang lahir dari mereka, nescaya kita akan hidup dengan bahagia dan ketenangan fikiran.
Seterusnya, satu lagi bekalan yang tidak harus kita lupakan untuk kehidupan di dunia dan di akhirat adalah ilmu pengetahuan. Ilmu adalah sebaik-baik pemberian Allah kepada hamba-hambaNya. Ilmu membolehkan kita mengenali Allah, dan memberi petunjuk kepada perkara-perkara yang diredaiNya. Sesungguhnya, ilmu adalah anugerah terbesar yang dikurniakan kepada manusia, dituangkan pada akalnya, dan menyerap ke dalah rohnya. Maka ahli ilmu kaya tanpa harta, mulia tanpa keluarga, terhormat tanpa pangkat, dan kuat tanpa kuasa. Setiap hari rohnya bersinar dengan makrifah, fikirannya disirami dengan hujan risalah, lalu mendatangkan hasil dua kali ganda. “Katakanlah lagi (kepadanya): Adakah sama orang-orang yang mengetahui dengan orang-orang yang tidak mengetahui?” (Az-Zumar: 9). Adapun orang jahil, maka betapa ruginya dan hampa, dia mempunyai diri yang runtuh dengan syahwat-syahwat kepentingannya terikat dengan harapan-harapan, hari semalamnya dengan hari ini, hari ini sama dengan esoknya, tidah ada hikmah dalam kejemuan dari umurnya, tidak ada pemahaman yang mendalam. “Atau adakah engkau menyangka bahawa kebanyakan mereka mendengar atau memahami (apa yang engkau sampaikan kepada mereka)? Mereka hanyalah seperti binatang ternakan, bahkan (bawaan) mereka lebih sesat lagi”. (Al-Furqan: 44) Oleh itu, segala ilmu yang dapat membawa kebaikan kepada diri maka haruslah kita berusaha memperolehinya kerana sesungguhnya Allah s. w. t. sangat sayang akan umatnya yang terpelajar dan berilmu. Dengan ilmu dapatlah juga kita mempertahankan agama kita dari golongan-golongan sesat dan juga mendidik mereka dengan kelebihan-kelebihan Islam yang mulia. Sememangnya, tanpa ilmu apakah yang dapat membezakan diri kita daripada mereka?
Akhir sekali, kesyukuran dan keredhaan juga adalah penting buat ketenangan fikiran. Bilakah akan kita meredhai diri kita, apabila sudah memiliki sesuatu, kita tamak untuk memiliki dua, kemudian tiga dan seterusnya. Kehausan yang tidak pernah terputus, dan kedahagaan yang tidak pernah puas. Apabila sudah kita berbahagia pada saat ini maka janganlah kita menuggu lagi kebahagiaan yang lebih dari hari ini pada hari esok atau lusa. Ketengan tidak mungkin dapat tercapai dengan cara ini. Ini kerana umur kian berkurang, masa tetap berjalan, minit-minit melompat, maka jangan memikirkan pada harapan yang ghaib sedang kita tidak cuba mengambil faedah daripada apa yang sedia ada di tangan kita sekarang. Justeru, bergembiralah dengan segala pemberian Allah, berbahagialah dengan rumah yang kecil, kerana adapun yang tidak mempunyai atap di atas kepala, redhalah dengan roti yang panas dan enak, kerana adapun yang tiada beras untuk ditanak. Kita hidup dalam dugaan-dugaan dan khayalan-khayalan yang terbang di langit padang pasir, kita tidak pernah rasa redha dengan apa yang ada di sisi kita, dan kita juga tidak mengetahui apa yang ada di masa hadapan. Jika kita tidak redha dengan apa yang ada di tangan kita, maka kita tidak akan redha apabila dunia sudah tiada dan sudah tiba masanya kita bertemu Pencipta.
Oleh itu, marilah kita sama-sama cuba menerapkan nilai-nilai ini ke dalam diri kita sebelum masanya sudah terlambat. Marilah kita cuba untuk mengubah dan juga memperbaik kehidupan yang kita jalani di dunia ini, tanpa melupakan dunia yang bakal kita semua jumpa pada esok kelak. Maka janganlah kita lalai mengejar hal-hal keduniaan dan melupakan urusan-urusan akhirat, dan juga janganlah kita terlalu leka mengumpul bekalan buat akhirat sehinggakan terlupa untuk hidup di dunia, sesungguhnya dunia ini hanya sementara, nikmatilah keindahannya sementara masih ada.


Ustaz Abd Aziz bin Harjin
Pensyarah Tamadun Islam
Universiti Teknologi MARA Perlis
02600 Arau 
PERLIS
MALAYSIA

013-4006206
04-9882701
abdazizharjin@perlis.uitm.edu.my
http://abdazizharjin.blogspot.com


Dosa-dosa Wanita

Oleh: Nur’aadila Binti Kaman

Pengertian etimologi taharah adalah kebersihan dan menjauhkan diri dari hal-hal yang kotor.

Pengertian terminologi taharah adalah sifat hukum yang menetapkan pembolehan solat umpamanya, berkaitan dengan apa-apa yang disifatkannya, yang diikuti dengan masalah-masalah lain.

Pada bahagian ini, perlakuan-perlakuan wanita yang boleh menjurus kepada perlakuan dosa semasa didatangi haid dikupas. Salah satu daripadanya, iaitu masalah bejana. Beberapa potong hadis di dalam buku ini telah menyatakan tentang pengharaman makan dan minum dengan menggunakan bejana emas dan perak. Pengaharaman menggunakan behana emas dan perak merupakan ijmak. Selain itu, kesalahan menyetubuhi wanita haid juga telah diterangkan secara terperinci di dalam buku ini. Ada di antara para jamaah menharamkan perbuatan ini, namun ada segelintir lagi yang menganggap perbuatan ini sebagai satu dosa besar. Kemudian muncul pula pertanyaan; Bagaimana jika wanita dipaksa melayani persetubuhan, sedangkan dia sedang haid? Adakah dia berdosa? Persoalan ini telah dijawab oleh hadis Nabi SAW, tentang seseorang yang menyetubuhi isterinya yang sedang haid. Dia harus mengeluarkan sedekah satu dinar atau setengah dinar. Menurut pendapat lain, isteri itu harus menolak ajakan suami. Namun jika suaminya dalam keadaan marah-marah dan menggunakan kekerasan, maka kesalahan isteri diampuni. Persoalan solat wanita haid juga dikupas dalam buku ini. “Tidak solat dan tidak puasa” sudah cukup menerangkan larangan solat dan puasa ke atas seorang wanita yang sedang didatangi haid. Ini merupakan ijmak ulama. Persoalannya, berdosakah atau tidak wanita haid yang mengerjakan solat? Ya, dia berdosa, sebagaimana dia juga berdosa jika solat tanpa berwuduk pada ketika tidak haid. Dia juga berdosa jika bersolat pada ketika haid, meskipun sudah wuduk. Mencabut kening, membuat tatu dan mengikir gigi merupakan di antara perlakuan yang sering dilakukan oleh wanita tanpa mereka sedari bahawa perlakuan berikut menjerumus kepada perbuatan dosa. Sebuah hadis di dalam buku ini, ada menyatakan bahawa Allah melaknat wanita yang menyambung rambut, dan meminta agar rambutnya disambung, wanita yang membuat tatu dan meminta agar dia ditatu, para wanita yang mengikir gigi dan meratakannya untuk kecantikan hingga merubah ciptaan Allah. Termasuk juga golongan wanita terlaknat adalh yang merubah ciptaan Allah, seperti mengecat wajah atau bibir. Semua ini boleh dianggap dosa besar, kerana adanya laknat Rasulullah.

Pada bahagian kedua buku ini pula, iaitu bahagian solat. Di dalam buku ini ada menerangkan hukum wanita yang mengerjakan solat tanpa mengenakan tudung kepala. Sebuah hadis ada menerangkan bahawa Allah tidak menerima solat wanita yang sudah baligh, kecuali dengan mengenakan tudung kepala. Hal ini kerana, memakai tudung kepala; menutup aurat adalah harus jika kita ingin mengerjakan solat. Dalam keadaan menghadap Allah dan melaksanakan salah satu rukun agama, dia lebih layak untuk mengenakannya dan tampil dalam keadaan yang paling baik.

Persoalan mengenai wanita yang menyerupai lelaki juga ada dikupas oleh penulis. Menurut penulis, Rasulullah SAW melaknat orang-orang yang banci (tidak lelaki dan tidak perempuan) dari kalangan lelaki dan di antara wanita yang bersikap seperti lelaki. Dari hadis-hadis dan laknat yang disebutkan di dalamnya, dapat disimpulkan bahawa penyerupaan ini termasuk dosa besar. Terdapat dua pendapat yang menonjol tentang hukum penyerupaan ini dikalangan ulama menurut penulis. Melalui pendapat yang dibenarkan oleh An-Nawawy, penyerupaan itu haram manakala melalui pendapat yang dibenarkan oleh Ar-Rafi’y mengatakan bahawa penyerupaan itu makruh. Namun, penulis ada menegaskan bahawa pendapat An-Nawawy adalah yang benar, bahawa penyerupaan itu hukumnya haram.

Selain itu, perihal ratap tangis yang amat sinonim dengan kaum wanita juga ada dihurai oleh penulis melalui penulisannya. Umamah ra. berkata bahawa sesungguhnya Rasulullah SAW melaknat wanita yang mencakar wajahnya, merobek-robek sakunya dan berseru dengan ucapan-ucapan kecelakaan dan kutukan. Melalui potongan hadis yang disertakan di dalam buku ini, jelas menyatakan pengharaman mencemarkan kehormatan keturunan dan meratapi orang yang meninggal. Menurut pendapat yang paling sahih mengenai sebab pengharaman ini, kerana perbuatan ini termasuk perbuatan orang-orang kafir dan akhlak orang-orang Jahiliyah. Di samping itu, dua perbuatan tersebut boleh menjurus kepada kekufuran dan mengingkari nikmat.

Perbuatan tidak mengeluarkan zakat perhiasan juga merupakan antara perbuatan yang sering dilakukan oleh seseorang wanita itu tanpa menyedari akan akibat buruk perbuatan mereka. Beberapa pendapat menegaskan kewajipan membayar zakat perhiasan, yang didasarkan kepada beberapa hadis yang ada. Pada awal permulaan Islam, perhiasan dari emas dan perak diharamkan bagi para wanita. Maka dari itu harus dikeluarkan zakat. Namun kemudian perhiasan emas dan perak diperbolehkan. Untuk itu zakat harus dikeluarkan terhadap perhiasan yang berlebihan dan yang disimpan. Jadi, wanita yang tidak mengeluarkan zakat perhiasannya akan mendapat dosa.

Persoalan pemakaian wangi-wangian oleh kaum wanita juga telah diketahui hukumnya, namun masih ada segelintir wanita yang tidak menghiraukan kesan atau akibat dari perbuatan mereka itu. Rasulullah SAW bersabda: “Ketahuilah wangian laki-laki adalah bau yang tidak ada warnanya, dan wangian wanita adalah warna yang tidak ada baunya. ” Menurut sebahagian rawi, hal ini berlaku jika wanita keluar dari rumahnya. Tetapi selagi berada bersama suaminya, dia boleh mengenakan minyak wangi sesuka hatinya. Daripada huraian ini dapat disimpulkan bahawa perbuatan-perbuatan ini boleh membawa kepada dosa besar. Sebab mengenakan wangian agar baunya boleh dicium oleh kaum laki-laki, sama dengan menampakkan dirinya di hadapan mereka dan membangkitkan berahi mereka. Maka tidak hairan jika wanita seperti ini disebut sebagai wanita penzina.

Pada bab kedua buku ini pula, penulis telah mengetengahkan permasalahan muamalah. Pada dasarnya muamalah wanita adalah pergaulan bersama keluarga, sanak saudara dan suaminya. Maka di sini ada beberapa permasalahan yang dibentangkan oleh penulis yang harus diketahui oleh wanita dalam kaitannya dengan muamalah ini, seperti masalah perkahwinan dan penceraian. Tujuannya bagi kaum wanita menjaga dirinya agar tidak terjerumus ke dalam hal-hal yang dilarang. Di samping itu, ada situasi-situasi yang memaksa wanita untuk bermuamalah dalam berbagai sektor kehidupan. Maka dari itu penulis berusaha untuk mengutarakan beberapa hal yang perlu diwaspadai oleh kaum wanita dalam muamalah.

Persoalan pernikahan menjadi ‘topik pembuka’ memandangkan persoalan pernikahan merupakan persoalan yang paling besar. Nikah menurut pengertian bahasa adalah menyatu dan berpadu, seperti perajwinan antara pohon, kerana sebahagian dijadikan menyatu dengan sebahagian yang lain. Manakala menurut erti syariat, nikah adalah akad yang mengandungi pembolehan persetubuhan, dengan lafaz yang bersifat menikahkan atau yang serupa. Namun begitu, ada sebahagian wanita yang memencilkan dirinya dan tidak mahu menikah kerana alasan peribadi atau pandangan yang salah, kerana suka mentafsirkan berbagai peristiwa, membanding-bandingkan berbahagi kegagalan orang lain atau yang pernah dialaminya sendiri. Menurut pandangan Islam, dia tidak boleh dibenarkan.

Perbuatan yang sering dilakukan oleh sesetengah isteri tanpa mereka sedari iaitu perbuatan memperkecil-kecilkan suami juga diketengahkan oleh penulis dalam buku ini. Perbuatan memperkecil-kecilkan suami dianggap sebagai dosa besar. Begitulah menurut ijmak para ulama. Dalam sebuah riwayat juga disebutkan bahawa Nabi SAW melaknat pelakunya. Menurut penulis, telah menjadi kebiasaan kaum wanita berbual kosong hingga melebihi batas dengan oang lain, sehingga akhirnya memperkecil-kecilkan suami sendiri.

Perbuatan seorang isteri yang menolah ajakan suami juga boleh mendatangkan dosa kepada wanita tersebut. Isteri harus mencari keredaan suami dan seboleh mungkin jangan membangkitkan kemarahannya. Dengan begitu, suami boleh memperoleh kenikmatan yang mubah dari isteri. Sedangkan yang tidak boleh dilakukan ialah seperti menyetubuhi isteri yang sedang haid atau nifas, kecuali setelah dia sudah mandi atau setelah darahnya berhenti. Menurut penulis, isteri harus menempatkan dirinya seprti layaknya budak dimiliki oleh suaminya. Sehingga dia tidak boleh membelanjakan harta suami kecuali dengan izinnya. Malahan ada sebahagian ulama yang berpendapat, isterinya tidak boleh membelanjakan harta miliknya sendiri kecuali dengan izin suaminya. Sebab dia layaknya orang yang duduk di dalam rumah. Isteri harus mendahulukan hak-hak uami daripada hak kerabatnya sendiri, malahan adakalanya dia harus mendahulukan hak suami daripada haknya sendiri. Isteri tidak boleh angkuh kerana kecantikannya dan tidak boleh mencela keburukan diri suaminya.

Menurut penulis, sejak kebelakangan ini dunia ditaburi oleh suatu fenomena yang sangat buruk, iaitu kebiasaan menghisap rokok dengan berbagai jenisnya. Tambah memburukkan lagi, tabiat ini didukung oleh berbagai media massa dan dimasyarakatkan oleh pemerintah negara, kerana kepentingan ekonomi. Hal ini kerana, bukan sedikit hasil yangboleh diperoleh dari pengeluaran rokok oleh berbagai syarikatnya. Kata penulis lagi, meskipun tiada nas yang langsung membicarakan pengharaman rokok, tetapi pengharaman ini boleh didasarkan kepada satu pertimbangan, bahawa hal itu boleh melemahkan badan. Terdapat juga nas-nas lain yang mengisyaratkan pengharaman merokok kerana tidak nampak akan manfaatnya. Kalau merokok dianggap haram bagi kaum laki-laki, jadi apatah lagi bagi kaum wanita, kerana merokok tidak sesuai dengan tabiat dan fitrah mereka. Ianya menjadi lebih berbahaya jika mreka sedang hamil, kerana akan memberi kesan yang negative terhadap janin dalam kandungannya dan boleh menganggu pertumbuhannya. Jadi merokok merupakan dosa bagi laki-laki dan wanita, yang pelakunya akan dihisab di hadapan Allah.

As-sihaq atau lesbian telah menjadi trend remaja pada masa kini. Ada disebutkan di dalam perkataan Nabi SAW: “Lesbian adalah penzinaan di antara sesama wanita. ” Menurut sebuah hadis, telah dinyatakan tentang tiga golongan yang Allah tidak akan menerima dari mereka ucapan syahadat la ilaha illallah, iaitu pelaku homoseksual, lesbian dan pemimpin yang zalim. Tidak dapat diragukan, perbuatan ini termasuk dosa besar, malahan lebih besar dari dosa besar. Maksudnya, dosa lesbian lebih besar daripada zina sendiri, yang diqiyaskan kepada homoseksual. Oleh itu Allah menghinakan kaum Lut. Jadi jelaslah kini, bahawa dosa lesbian mahupun homoseksual lebih besar daripada zina itu sendiri.

Nyanyian wanita. Persoalan ini telah sedikit sebanyak dihuraikan oleh penulis. Suara wanita adalah merupakan aurat kepada seseorang wanita itu. Ianya harus dijaga sebaik-baiknya. Jadi, wanita yang menyanyi di hadapan laki-laki atau wanita adalah yang berdosa. Begitu pula jika dia mendengarkan nyanyian orang laki-laki. Huraian ini berkaitan dengan nyanyian yang tidak diiringi muzik. Nyanyian yang diiringi muzik adalah haram secara mutlak. Wanita yang menyanyi dengan iringan muzik atau mendengarkannya adalah berdosa. Namun dalam hal ini ada pengecualiannya, iaitu nyanyian yang biasa dipergunakan orang untuk membangkitkan kerja atau ketika membawa beban berat atau ketika mengadakan perjalanan jauh, dengan tujuan untuk menghibur jiwa dan membangkitkan semangat, seperti nyanyian bangsa Arab untuk mengiringi untanya, nyanyian wanita untuk menidurkan anaknya, nyanyian anak-anak ketika bermain dengan tetangganya. Semua ini diperbolehkan selagi tidak disebutkan kata-kata keji dan kotor. Tidak ada perbezaan pendapat mengenai maslah ini, dan malahan hal ini dianjurkan, kalau memang boleh membangkitkan semangat, seperti ketika perang.

Bahagian ketiga dalam buku ini pula menghurai pahala dan dosa dalam masalah adab dan keutamaan. Menurut penulis, sifat wanita adalah malu, lemah-lembut, penuh kasih sayang dan mudah menyesuaikan diri. Semua ini sesuai dengan keadaan dirinya yang harus beradab dan memiliki keutamaan dalam bergaul dengan manusia.

Dalam kehidupan berkeluarga sudah tentu akan menempuh atau muncul hal-hal baru dan ditemukan hal-hal yang manis serta menyenangkan. Setiap tahun baru aka nada berbagai tuntutan dan anggaran pengeluaran yang baru. Akhirnya kehidupan berkeluarga itu akan disarati dengan unsur-unsur kebendaan, lembaran-lembaran wang, emas dan berbagai fenomena lain. Selagi sudah ada gejala seperti ini dalam mengharungi lautan kehidupan, maka kamu perlu menasihati dan membimbing para wanita agar menyerahkan segala urusan kepada Allah.

Kata penulis, sebagaimana yang biasa diketahui, wanita adalah orang yang suka memperdayai, mencela dan mengumpat. Pastinya sifat ini ada dalam diri semua wanita, yang menunjukkan keterbatasan pandangan dan kelemahan fikirannya. Sebahagian di antara mereka jika melakukan tipu daya, maka tipu dayanya benar-benar sempurna, dan jika mengatur tipu muslihat, maka tipu muslihatnya benar-benar jitu dan sangat banyak.

Wanita sebagai jerat syaitan. Syaitan memperalat para wanita untuk memperdayai kaum laki-laki. Maka hendaklah mereka selalu besikap waspada, jangan sampai mereka diperalat oleh syaitan, dengan memenuhi bisikannya.

Disebutkan dalam hadis bahawa solat wanita di biliknya lebih baik daripada solat di masjid tempat tinggalnya. Solat di masjid tempat tinggalnya lebih baik daripada solat di masjid kaumnya. Solat di masjid kaumnya lebih baik daripada solat di masjid kaum Muslimin. Ini semua dimaksudkan untuk menjada dirinya. Jadi wanita harus memilih saf yang paling belakan, untuk menggambarkan kesibukan lain yang lebih penting, iaitu kesibukan di rumahnya, sehinggan dia terlambat tiba di masjid. Hal ini berbeza dengan kaum laki-laki.


Ustaz Abd Aziz bin Harjin
Pensyarah Tamadun Islam
Universiti Teknologi MARA Perlis
02600 Arau 
PERLIS
MALAYSIA

013-4006206
04-9882701
abdazizharjin@perlis.uitm.edu.my
http://abdazizharjin.blogspot.com