Monday, March 30, 2009

Penciptaan Serangga

Oleh: Ahmad Hakimi B Ali

Serangga adalah antara makhluk ciptaan Allah s.w.t. dan dapat kita lihat ianya di dunia ini sebagai satu kumpulan haiwan yang terbesar dengan kepelbagaian yang tinggi. Lebih 75% daripada semua jenis atau spesies haiwan adalah kumpulan serangga, sama ada yang masih wujud kini ataupun yang telah pupus. Kita juga kerap menyaksikan satu-satu jenis serangga itu sangat banyak bilangan spesiesnya.

Seperti mana firman Allah s.w.t yang bermaksud :

“Dan demikianlah pula di antara manusia dan binatang-binatang yang melata serta binatang-binatang ternak, ada yang berlain-lain jenis dan warnanya. Sebenarnya yang menaruh bimbang dan tukut (melanggar perintah) Allah dari kalangan hamba-hambaNya hanyalah orang-orang yang beriman. Sesunggguhnya Allah Maha Kuasa lagi Maha Pengampun.” (Surah Fatir : 28)

Kepelbagaian serangga ajaib dan mengkagumkan membuat kita merasa rendah diri terhadap Maha Penciptaannya, Allah s.w.t. Kita melihat serangga-serangga, ada yang kecil dan ada yang besar, ada yang bersegi dan ada yang bulat, ada yang licin dan ada yang berbulu atau berduri, dan ada yang berwarna-warni dan ada yang memiliki satu warna sahaja.

Terdapat pelbagai saiz serangga, ada kecil dan ada yang besar. Malah, terdapat serangga yang mempunyai saiz yang sangat kecil yang hanya dapat di lihat rupa bentuknya dengan bantuan kanta pembesar atau mikroskop. Keindahan warna-warna yang menyaluti tubuh serangga bukan sahaja kerana adanya kandungan pigmen warna tetapi warna-warna terserlah akibat biasan-biasan cahaya pada permukaan tubuh. Warna-warna itu indah dan menyejukkan mata yang melihatnya.

Terdapat serangga-serangga dengan warna-warna tubuh yang menyerupai warna latar yang membolehkannya terlindung dari di lihat oleh musuh-musuhnya. Struktur duri pada tubuh serangga walaupun kelihatan menggerunkan dan menakutkan, tetapi ia tersusun dalam suatu binaan dan simetri yang indah dan menakjubkan. Begitu juga, siapa yang tidak terpesona melihat kehebatan serangga yang sedang terbang melayang-layang, menurun dan menaik terapung-apung di udara, menari-nari berpasangan dan sebagainya.

Penciptaan serangga dan lain-lain haiwan atau makhluk dialam ini adalah sebagai penyaksian atau tanda kewujudan dan kebesaran Allah s.w.t di samping sebagai sumber-sumber rezeki dan ilmu pengetahuan yang harus diterokai. Penciptaan berlaku dengan kehendak dan kuasa Allah s.w.t.

Firman Allah s.w.t. bermaksud :

“Sesungguhnya keadaan-Nya apabila Ia menghendaki adanya sesuatu, hanyalah Ia berfirman kepada (hakikat) benda itu : “Jadilah engkau”. Maka ia terus menjadi.” (Surah Yaasiin : 82)

Allah itu Maha Besar, Maha Pencipta dan tidak ada kuasa yang dapat menyaingi dan mengatasiNya. Di dalam Al-Quran terdapat ayat-ayat yang menjelaskan bahawa apa yang diseur selain daripada Allah itu tidak mempunyai apa-apa kuasa dan upaya untuk mencipta seekor nyamuk atau lalat, atau yang lebih kecil daripada itu. Bahkan, jika berhimpun para cerdik pandai biologi sekalipun, mereka tidak akan berkemampuan untuk mencipta satu hayat pun. Maka hendaklah lahir pengakuan dan rendah diri terhadap kewujudan dan kekuasaan Allah s.w.t.

Penciptaan serangga, seperti juga penciptaan lain-lain makhluk mempunyai kepentingan dan hikmahnya tersendiri. Memandangkan begitu banyak terdapat serangga di muka bumi ini maka jelaslah begitu banyak hikmahnya, tetepi kita tidak tahu. Ilmu pengetahuan manusia kini dan juga akan datang tidak akan selesai meneroka dan menimba keluasan dan kedalaman ilmu Allah tersebut. Setakat ini manusia baru dapat meneroka kepentingan beberapa jenis serangga yang secara langsung berhubung dengan kehidupan manusia. Itu pun masih banyak lagi yang belum diketahui.

Serangga mempunyai kepentingan dalam kehidupan planet Bumi ini. Masing-masing jenis serangga yang diciptakan itu ada peranannya yang khusus. Kita hanya mengetahui peranan beberapa jenis serangga. Ilmu pengetahuan manusia kini masih belum dapat meneroka dan mengetahui secara lebih terperinci peranan daripada setiap jenis serangga.

Al-Quran menjelaskan bahawa setiap makhluk yang Allah ciptakan itu adalah tidak sia-sia kerana penciptaan atau kewujudannya mempunyai haq (hikmah) yang tersendiri.

Firman Allah s.w.t. bermaksud : “Allah menciptakan langit dan bumi dengan cara yang layak dan berkhidmat. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi satu tanda (yang membuktikan kebijaksanaan Allah) bagi orang-orang yang beriman.” (Surah al-Ankabut : 44)

Kewujudan serangga di muka bumi ini sangat penting bagi keseimbangan dan kelangsungan kehidupan manusia, haiwan dan tumbuhan. Kepentingan serangga kepada haiwan dan tumbuhan dapat dirasai oleh manusia secara langsung ataupun tidak langsung kerana kehidupan manusia bergantung pada haiwan dan tumbuhan. Manusia memerlukan haiwan dan tumbuhan sebagai sumber-sumber makanan, pakaian, bahan bakar, perubatan dan tempat tinggal.

Serangga merupakan sumber makanan utama kepada sejumlah besar haiwan-haiwan seperti burung, kelawar, beruang, tenggiling, reptilian, amfibia, ikan dan juga serangga itu sendiri. Ketiadaan serangga sudah pastilah haiwan-haiwan ini tidak dapat hidup dan seterusnya akan mati kelaparan. Beberapa jenis haiwan yang hidup dengan memakan serangga memberi kepentingan secara langsung pula kepada manusia, seperti ikan. Ataupun secara tidak langsung di mana haiwan pemakan serangga itu hidup dengan memangsakan beberapa serangga yang menimbulkan masalah-masalah kesihatan dan pertanian.

Serangga berperanan utama dalam kebanyakan pedebungaan tumbuh-tumbuhan, termasuklah tanaman pertanian. Pendebungaan ialah suatu proses pemindahan debunga jantan ke bunga betina bagi berlakunya persenyawaan. Hasil dari proses persenyawaan ialah pembetukan biji dan buah. Tidak ada biji maka tidak ada kelangsungan zuriat atau kewujudan bagi tumbuhan yang bergantung kapada serangga untuk proses pendebungaan. Jika tidak ada tumbuhan maka tidak ada makanan bagi lain-lain haiwan yang memakan tumbuhan. Jika tidak ada biji dan buah pastilah tidak ada sumber makanan untuk manusia dan haiwan. Tanpa tumbuhan hutan atau tanaman pertanian bagaimana mungkin manusia dapat hidup. Kepada manusia, tumbuhan membekalkan makanan, pakaian, perumahan, dan bahan-bahan ubatan. Penciptaan serangga adalah sebagai suatu cabaran dan ujian daripada Allah s.w.t. kepada manusia untuk berfikir bagi memperkembang dan memanfaat kekayaan ilmu Allah. Penerokaan ilmu mengenai serangga sebenarnya akan memaparkan hikmah penciptaan serangga. Penyelidikan-penyelidikan mengenai serangga telah banyak menyumbang kepada perkembangan ilmu pengetahuan hayat atau biologi keseluruhannya.

NYAMUK

Apa dia nyamuk?.
Nyamuk adalah sejenis serangga yang mempunyai satu pasang sayap. Alat mulut nyamuk mnyerupai paruh yang tajam digunakan untuk menghisap makanan iaitu darah haiwan atau manusia, dan juga cairan tumbuh-tumbuhan. Hanya nyamuk dewasa betina menghisap darah, yang diperlukan bagi proses perkembangan telur. Nyamuk dewasa jantan tidak menghisap darah, tetapi hanya memakan cairan tumbuh-tumbuhan iaitu manisan atau cairan buah yang membusuk.

Firman Allah s.w.t. yang bermaksud :
“Sesungguhnya Allah tidak malu membuat perbandingan apa sahaja, (seperti) nyamuk hingga ke suatu yang lebih rendah daripadanya (kerana perbuatan itu ada hikmahnya) iaitu kalau orang-orang yang beriman maka mereka akan mengetahui bahawa perbandingan itu benar dari Tuhan mereka, dan kalau orang-orang kafir pula maka mereka akan berkata : “Apakah maksud Allah membuat perbandinagn dengan ini?” (Jawabnya) : Tuhan akan menjadikan banyak banyak orang sesat dengan sebab perbandingan itu, dan akan menjadikan banyak orang mendapat petunjuk dengan sebabnya : dan Tuhan akan menjadikannya sesat sebab perbandingan itu malainkan orang-orang yang fasik.”
(Surah al-Baqarah : 26)

Pengungkapan nyamuk dalam maksud firman Allah s.w.t. di atas merupakan penyaksian kepada kekuasaan Allah yang kepadaNya kita wajib percaya. Tidak ada kuasa lain yang dapat mencipta makhluk sebesar nyamuk atau yang lebih rendah atau lebih kecil daripada itu, ataupun yang lebh besar daripada itu, selain daripada Allah, Pencipta alam semesta.

Nyamuk belum dewasa atau jentik-jentik mendiami habitat air, hidup dengan memakan mikroorganisma-mikroorganisma seperti alga dan bacteria. Sejarah perkembangan hidup nyamuk bermula dari telur, kemudian menetas menjadi jentik-jentik, seterusnya bertukar kepada bentuk pupa yang merupakan suatu tahap untuk persiapan bagi menjelma kapada nyamuk dewasa. Nyamuk dewasa yang baru keluar dengan memecah kulit pupa akan berehat sebentar di permukaan air sementara tubuh menjadi agak keras. Kemudian ia mula terbang mencari makanan dan membiak.

Di seluruh dunia terdapat bermacam-macam jenis nyamuk yang mempunyai pelbagai kelakuan dan menghuni pelbagai habitat. Misalnya ada nyamuk keluar pada waktu siang, senja, dan malam hari; ad a nyamuk membiak di anak sungai, paya, dan sebarang takungan air; ada nyamuk yang membiak di tempat terbuka dan ada yang membiak di tempat teduh; selanjutnya ada nyamuk yang suka memakan darah haiwan, ada yang menyukai darah manusia juga ada yang memakan darah siapa sahaja yang ditemuinya apabila ia lapar.

Dilaporkan terdapat lebih kurang 2500 spesies nyamuk di seluruh dunia, yang mewakili beberapa genus. Genus-genus nyamuk yang utama dan terlibat dalam pelbagai jenis penyakit terpenting bagi manusia juga terdapat di Malaysia, iaitu nyamuk-nyamuk daripada genus Aedes, Anopheles, Culex, dan Mansonia.

Nyamuk dan Kesihatan

Sebagaimana yang kita semua ketahui nyamuk kerap dikaitkan dengan kesihatan manusia. Pelbagai jenis penyakit utama manusia dikaitkan dengan nyamuk. Sebenarnya nyamuk itu sendiri tidak menyebabkan penyakit kepada manusia dan jumlah darah yang diambilnya adalah sangat sedikit sekali untuk menjejaskan kesihatan seseorang. Paling tidak seseorang itu akan merasa gatal atau jika seseorang itu bersifat alah ia akan mendapati tubuhnya penuh dengan bengkak merah.

Tetapi yang bahayanya ialah kerana beberapa jenis nyamuk adalah vektor atau pembawa mikroorganisma atau parasit yang menyebabkan sesuatu penyakit. Pertalian antara suatu mikroorganisma dengan suatu nyamuk vektor adalah rapat sebagai yang dicerminkan oleh kesuaian hidup mikroorganisma tersebut dalam tubuh nyamuk di mana nyamuk tersebut tidak mendapat sebarang kecederaan. Misalnya mikroorganisma atau parasit malaria (Plasmodium falcifarum), hidup di dalam tubuh nyamuk, menjalani perkembangan dan pembiakan di dalam usus dan dalam dinding usus kemudian di dalam kelenjar air liur, sebelum disuntik atau dipindahkan kepada manusia serta haiwan-haiwan lain yang menjadi mangsanya. Nyamuk vektor adalah terdiri daripada beberapa jenis iaitu nyamuk vektor malaria, nyamuk vektor denggi, nyamuk vektor untut, nyamuk vektor “Yellow fever”, dan nyamuk vektor enkefalitis.

BELALANG

Belalang adalah sejenis serangga pemakan tumbuh-tumbuhan. Ia mempunyai tubuh yang lebih kasar dan besar berbanding dengan nyamuk dan lalat. Serangga dalam kumpulan belalang ini mudah dikenal daripada bentuk kaki belakangnya yang besar dan kukuh. Kaki ini digunakan untuk melompat bagi memulakan suatu penerbangan atau untuk melompat menjauhkan diri daripada musuh. Belalang juga mempunyai dua pasang sayap iaitu sayap hadapan yang agak keras dan berfungsi sebagai pelindung untuk sayap belakang yang bersifat agak nipis. Secara amnya, belalang hanya menggunakan sayap belakang untuk penerbangan. Alat mulut (mandibel) ini pula merupakan struktur yang sangat kuat yang digunakan untuk mengerat atau menggigit makanannya.

Dari firman Allah s.w.t. yang bermasud :“(Allah berfirman) : Kami pun mengutuskan kepada mereka taufan dan belalang dan kutu dan katak dan darah sebagai tanda-tanda dan bukti yang jelas dan nyata. Maka mereka juga tetap berlaku sombong takbur dan menjadi kaum yang mendurhaka.”
(Surah al-A’raf : 133)

Penyebutan serangga-serangga di dalam firman Allah di atas adalah berbeza daripada penyebutan serangga di dalam firman Allah yang telah dibincangkan sebelum ini. Belalang dan kutu yang dinyatakan disini sebagai bala yang diturunkan oleh Allah kepada kaum Fir’aun yang telah menzalimi Nabi Allah Musa dan pengikut-pengikut Nabi A.S. Belalang telah diperintahkan oleh Allah untuk memusnahkan tanam-tanaman, dan kutu pula bagi menimbulkan pelbagai penyakit. Bala ini telah menyebabkan malapetaka yang amat besar kepada pengikut-pengikut Fir’aun. Tanaman pertanian pula musnah dan mengakibatkan kelaparan dan kematian. Kutu-kutu membawa kesengsaraan kerana pelbagai penyakit. Intisari daripada maksud firman Allah di atas merupakan satu peringatan daripada Allah kepada setiap hamba-hambaNya yang lain supaya mematuhi perintah dan menjauhi segala laranganNya demi kesejahteraan dan menghindari daripada bala yang akan di turunkan.

Belalang dan Pertanian

Penyebutan belalang dalam firman Allah juga adalah merupakan suatu dokumen tentang wabak belalang yang telah memusnahkan tanaman pertanian kira-kira 4000 tahun silam. Adalah diduga bahawa diantara belalang-belalang yang telah disebutkan di dalam Al-Quran itu adalah dari spesies Schistocerca gregaria. Spesies belalang juta ini masih mengancam tanaman pertanian di Afrika dan Asia. Spesies ini merupakan satu spesies yang paling ganas di antara belalang-belalang juta yang lain.

Belalang Sebagai Sumber Makanan

Belalang merupakan sumber makanan kepada haiwan-haiwan lain seperti labah-labah, ikan, burung dan juga kelawar. Belalang yang jatuh ke dalam air akan menjadi makanan ikan manakala belalang yang sedang berterbangan di udara mahupun berada di pohon-pohon tumbuhan pula berkemungkinan akan menjadi makanan burung atau kelawar.

Selain menjadi makanan kepada haiwan-haiwan, belalang juga merupakan satu-satunya serangga yang dihalalkan untuk dimakan oleh manusia. Sehubungan dengan ini pernah ada cadangan bahawa dalam kawalan Afrika mengatasi masalah belalang yang merosakkan tanaman pertanian, maka lebih baik dimanfaatkan belalang sebagai sumber makanan.

Berikut adalah hadith Nabi yang menghalalkan manusia memakan belalang :

Dari Abdullah bin Abi Aufa (r.a.) Katanya : “Kami berperang bersama-sama Rasulullah s.a.w dalam tujuh peperangan, di mana kami pernah memakan belalang”.

Diriwayatkan oleh Muslim.


KUTU
Istilah kutu (qamla) yang dibincangkan disini adalah dengan takrifan sejenis serangga parasit yang mempunyai bentuk tubuh yang memipih merata dengan permukaan. Alat mulutnya jenis mengigit yang digunakan untuk melukakan kulit. Kutu akan memakan darah yang keluar daripada luka kulit tersebut. Pelbagai jenis kutu yang hidup sebagai parasit kepada manusia dan haiwan ternak. Mengikut pengelasan, kutu termasuk ke dalam kumpulan serangga yang dikenal sebagai order Phthiraptera.

Daripada firman Allah s.w.t. yang bermaksud :
“Kami pun menghantarkan kepada mereka taufan dan belalang dan kutu dan katak dan darah sebagai tanda-tanda dan bukti yang jelas nyata, maka mereka tetap juga berlaku sombong takbur dan menjadi kaum yang mendurhaka.”

(Surah Al-A’raf : 133)

Intisari daripada maksud firman Allah s.w.t di atas adalah membincangkan tentang serangan kutu. Perkataan kutu di sini adalah terjemahan daripada perkataan “qummal”. Istilah bahasa Arab tersebut adalah daripada kata akar “qamla” yang mana maksud dalam bahasa Malaysianya iaitu kutu, yang mempunyai maksud yang sangat meluas.

Para pentafsir Al-Quran menjelaskan bahawa maksud “qamla” meliputi takrifan kepada beberapa jenis serangga kecil yang tidak bersayap, bertubuh pipih yang hidup dengan menghisap darah (parasit), seperti kutu manusia (= qamla); pinjal (= barghut) parasit yang terdapat pada kucing, anjing dan tikus; dan caplak (= quradha), parasit yang terdapat pada haiwan ternak.

Di samping itu, terdapat juga pengertian yang diberikan pleh para pentafsir Al-Quran yang meliputkan maksud “qamla” kepada sejenis serangga yang bertubuh kecil daripada belalang dan hidup dengan memakan tumbuhan – “qamlatun nabati”. Serangga pemakan tumbuhan yang dimaksudkan ini juga mempunyai bentuk tubuh yang memipih, dan ia dikenal dalam bahasa Inggeris sebagai “plant lice” yang padanan istilah bahasa Malaysianya sebagai “kutu tumbuhan”. Jadi, secara teknikalnya nama kutu tumbuhan ini lebih dikenali dengan istilah afid (aphid).

Kesimpulan

Kesimpulannya, penciptaan berbagai-bagai spesies serangga dalam dunia ini banyak mempengaruhi kehidupan setiap penghuni lain di dunia ini. Ini menunjukkan bahawa setiap serangga serta hidupan-hidupan lain mempunyai interaksi ataupun perkaitan yang kuat antara satu sama lain, dimana mereka saling bersaing untuk meneruskan kehidupan, dan dalam persaingan ini mereka juga saling memberi atau menerima manfaat dan juga keburukan.
Kewujudan tumbuhan, haiwan, serangga dan manusia serta semua makhluk di alam ini adalah melalui penciptaan Yang Maha Pencipta, yang mempunyai segala kekuasaan. Penciptaan makhluk oleh Allah s.w.t. adalah fakta yang berdasarkan ilmu menurut Islam. Sumber wahyu Al-Quran dan Sunnah Nabi jelas menyatakan bahawa Allah adalah Pencipta sekalian makhluk.



Ustaz Abd Aziz bin Harjin
Pensyarah Tamadun Islam
Universiti Teknologi MARA Perlis
02600 Arau 
PERLIS
MALAYSIA

013-4006206
04-9882701
abdazizharjin@perlis.uitm.edu.my
http://abdazizharjin.blogspot.com

2 comments:

mohamedsaid said...

Harus dimaklumkan dari mana sumber maklumat ini diperolehi.

mohamedsaid said...

Harus bersikap jujur, dengan memaklumkan dari mana sumber maklumat diperolehi.