Tuesday, March 31, 2009

Kejadian alam tanda kekuasaan dan keagungan allah s. w. t. serta hikmahnya

Oleh : Mohd Shahrul Amrie Bin Rusli

Allah S. W. T. Maha Berkuasa dan Maha Bijaksana menjadikan alam dan segala isi kandungannya untuk dimanfaatkan oleh manusia. Segala makhluk yang dijadikan oleh Allah S. W. T. dalam alam ini mengikut ketentuan-Nya yang tidak boleh ditafsir oleh manusia. Semua alam cakerawala yang ada di langit dan segala makhuk yang terdapat di bumi dijadikan untuk membantu manusia menjalankan aktiviti dalam kehidupan harian. Kejadian alam merupakan ketetapan Allah S. W. T yang azali. Ia merupakan anugerah-Nya kepada semua makhluk yang hidup di bumi ini. Kejadian alam terbahagi kepada dua iaitu kejadian alam di bumi dan kejadian alam cakerawala.

Salah satu tanda kekuasaan Allah S. W. T. ialah kejadian bumi dan segala isi kandungannya. Semua yang dijadikan oleh Allah adalah untuk manusia mengambil manfaat bagi menyempurnakan kehidupan mereka di bumi. Antara hikmah-hikmah kejadian bumi termasuklah sebagai tempat kediaman manusia, membuktikan kekuasaan Allah, sebagai tempat ujian kepada manusia terhadap amalan yang dilakukan, dan supaya manusia insaf bahawa kehidupan di bumi ini adalah sementara untuk menunggu ke alam yang kekal abadi (alam akhirat). Ia dapat dijelaskan dalam Al-Quran Al-Karim dalam Surah Al-Hadid, ayat 4 yang bermaksud “Dialah (Allah S. W. T. ) yang menciptakan langit dan bumi dalam masa enam hari”. Allah S. W. T. menjadikan bentuk muka bumi yang berbeza-beza antara satu tempat dengan tempat yang lain. Perbezaan ini mempengaruhi beberapa aktiviti kehidupan manusia dalam beberapa aspek. Allah menjadikan bukit-bukau, gunung-ganang, sungai, laut, tumbuh-tumbuhan, dan lain-lain untuk menjadi bahan bantu kepada manusia menjalani kehidupan di bumi ini. Hikmat-hikmat kejadian tersebut ialah membuktikan kekuasaan dan keagongan Allah, meningkatkan keimanan dan ketaqwaan kepada Allah, manakala bukit dan gunung merupakan pasak bumi yang meneguhkan kedudukan bumi. Oleh itu, Allah S. W. T. telah menganugerahkan akal fikiran dan ilmu pengetahuan kepada manusia supaya manusia berusaha mencari rahsia-rahsia yang terdapat di bumi untuk dimanfaatkan dalam kehidupan harian. Hasil daripada penyelidikan dan kajian yang dilakukan, manusia berjaya menemui berbagai-bagai bahan galian yang berharga dan bermutu tinggi dan ianya penting kepada pembangunan umat manusia seperti hasil dari tanaman dan dari laut.

Kejadian seterusnya ialah kejadian air. Air merupakan sumber yang amat penting kepada semua kehidupan di muka bumi ini. Tanpa air, semua makhluk tidak boleh meneruskan kehidupan. Air hujan yang turun dari langit membasahi bumi dan menyuburkan tanah-tanih yang sesuai dengan pelbagai jenis tanaman. Dengan adanya air, binatang dan tumbuh-tumbuhan dapat membiak dengan baik. Semua ini menghasilkan sesuatu yang lumayan kepada manusia. Allah S. W. T. Maha Berkuasa menjadikan air hujan yang turun dari langit. Kejadian hujan bermula apabila wap-wap air dari laut atau sungai tersejat dan berkumpul membentuk kumpulan awan. Apabila kumpulan awan telah sejuk dan berat, ia akan gugur ke bumi sebagai hujan. Memandangkan air amat berharga kepada kita, maka kita hendaklah bertanggungjawab menggunakan air dengan sebaik-baiknya, misalnya berjimat-cermat menggunakan air, tidak mencemarkan air dengan bahan beracun, tidak membuang sampah-sarap ke dalam sungai, dan sebagainya.

Kejadian tumbuh-tumbuhan juga menunjukkan kekuasaan Allah S. W. T. Tumbuh-tumbuhan yang beraneka jenis yang terdapat di bumi ini adalah untuk memberi kesenangan kepada manusia di samping memperoleh beberapa manfaat untuk memenuhi keperluan hidup manusia. Tumbuh-tumbuhan dan tanaman merupakan penyempurnaan kepada kehidupan manusia dan lain-lain makhluk Allah. Dengan itu, manusia dan binatang memperoleh makanan yang sangat penting untukmeneruskan hayat di bumi ini. Hasil tanaman juga merupakan sesuatu sumber yang penting kepada pembangunan sesebuah negara. Ia juga penting kepada keindahan alam sekitar. Tumbuhan ini juga penting untuk menghalang daripada terjadinya hakisan dan tanah runtuh yang mengancam manusia. Suhu yang panas juga dapat dikurangkan dengan adanya tumbuhan kerana ia menyerap gas karbon dioksida dan membebaskan gas oksigen. Manusia dapat mengeksploitasi tumbuhan sebagai bahan makanan, dan pelbagai jenis ubat diperoleh daripadanya. Kita hendaklah bertanggungjawab menjaga tumbuh-tumbuhan daripada dimusnahkan dengan sewenang-wenangnya. Sekiranya perbuatan tersebut dibiarkan, segala manfaat daripada tumbuh-tumbuhan tidak dapat dinikmati oleh generasi akan datang.

Kemudian, Allah menjadikan berbagai-bagai jenis binatang yang terdiri daripada ternakan dan bukan ternakan. Kejadian ini juga membuktikan kekuasaan dan keagungan Allah S. W. T. Binatang-binatang ternakan (an’am) yang terdiri daripada kambing, biri-biri, lembu, kerbau, unta dan sebagainya mendatangkan faedah yang besar kepada manusia. Allah telah berfirman dalam Surah An-Nahl, ayat 5 yang bermaksud “Dan binatang ternakan itu, Dia jadikan buat kamu dan kamu mendapat (pakaian) kehangatan dan banyak manfaat dan dagingnya dapat kamu makan”. Semua ternakan yang halal boleh dimakan dagingnya, kulitnya pula dijadikan untuk kegunaan manusia. Bagi binatang yang tidak halal dimakan, manusia boleh mengambil kulitnya untuk dijadikan pakaian dan barang-barang perhiasan setelah disamak. Ternakan juga boleh digunakan untuk mengangkut barang-barang dan hasil pertanian dari satu tempat ke tempat yang lain. Ternakan juga dapat mengeluarkan hasil yang besar kepada sesebuah negara jika diternak secara komersial. Segala kejadian dari Allah S. W. T. merupakan kurniaan rezeki kepada manusia. Oleh sebab itu, kita hendaklah menyayangi binatang peliharaan untuk kebaikan bersama. Kita dilarang menganiayai atau mencederakan binatang kerana binatang sangat berguna kepada manusia.

Selain itu kejadian air laut yang masin dan air sungai yang tawar membuktikan kebijaksanaan dan ketinggian ilmu Allah S. W. T. jika dibandingkan dengan manusia. Hal ini telah dijelaskan oleh-Nya dengan terang sebagaimana yang dinyatakan di dalam firman-Nya yang terkandung di dalam kitab suci Al-Quran dalam Surah Ar-Rahman ayat 19-20 yang bermaksud, “Dia kirimkan dua macam laut (masin dan tawar) yang bertemu kedua-duanya ada dinding (sehingga) tiada bercampur kedua-duanya”. Kejadian laut dan segala hidupan di dalamnya merupakan rahmat kurniaan Allah kepada manusia. Hal ini demikian kerana ia merupakan tempat untuk memperoleh sumber rezeki. Beberapa buah negara di dunia telah menjadikan hasil tangkapan laut sebagai sumber pendapatan individu dan negara. Oleh sebab itu, manusia hendaklah menjaga laut dari sebarang pencemaran dan kotoran. Keadaan laut yang tercemar menyebabkan segala hidupan di dalamnya akan mati.

Allah yang Maha Berkuasa juga telah menjadikan bahan galian yang terdapat dalam perut bumi. Bahan-bahan galian tersebut seperti emas, perak, permata, logam dan lain-lain. Allah S. W. T. menyediakan berbagai-bagai jenis bahan galian yang bermutu tinggi. Ia sangat diperlukan untuk membangun dan memajukan hidup manusia. Dengan kemahiran dan ilmu yang ada, manusia berjaya memproses dan mengolahnya supaya sesuai digunakan untuk kemudahan manusia. Bahan-bahan kurniaan Allah itu dapat digunakan untuk membina bangunan, membuat kenderaan, membuat peralatan rumah, dan lain-lain untuk kemudahan manusia. Selain itu, Allah turut mengurniakan petroleum yang terdapat di perut bumi yang terdapat di sesetengah tempat di dunia ini. Petroleum memberikan sumbangan yang besar terhadap kemajuan sesebuah negara. Contohnya, Mesir, Arab Saudi dan Kuwait merupakan negara yang kaya-raya dan maju kerana hasil minyak sejak beberapa tahun yang lampau.

Kejadian alam yang kedua ialah kejadian alam cakerawala. Allah S. W. T. Maha Berkuasa menjadikan alam cakerawala untuk membantu kehidupan manusia dan makhluk-makhluk lain yang terdapat di bumi ini dalam menjalani kehidupan harian. Kejadian alam cakerawala sungguh indah dan unik. Ia berada dalam keadaan terapung-apung di angkasa dan beredar mengikut paksi yang ditetapkan oleh Allah S. W. T. sejak azali lagi. Semua kejadian alam cakerawala ini mempunyai tujuan yang tertentu. Hanya dia saja yang mengetahui rahsianya. Allah telah berfirman dalam Surah Yunus ayat 5 yang bermaksud, “Dialah yang menjadikan matahari terang-benderang dan bulan bercahaya. Dialah yang menentukan perjalanan tiap-tiap satu itu pada tempat peredaran supaya kamu dapat mengetahui bilangan tahun dalam kiraan masa”.

Allah juga menciptakan berbagai-bagai keadaan seperti cuaca panas dan sejuk, ribut, kilat, guruh, hujan, musim yang berubah-rubah, dan iklim yang berlainan antara satu kejadian tersebut membuktikan keagungan, kebijaksanaan, dan kekuasaan Allah S. W. T. Keadaan alam cakerawala dan kejadian cuaca membawa rahmat kepada manusia, binatang, tumbuh-tumbuhan, dan makhluk-makhluk lain di muka bumi ini. Dengan hal yang demikian, manusia hendaklah mengagungkan kebesaran dan kekuasaan Allah.

Kejadian matahari dan bumi adalah antara kejadian cakerawala daripada Allah. Matahari adalah cakerawala yang sangat penting kepada seluruh kehidupan di bumi ini. Tumbuh-tumbuhan memerlukan tenaga yang terdapat pada matahari untuk membuat makanan semasa proses fotosintesis. Matahari terdiri daripada gas yang amat panas. Ia kelihatan lebih besar dan lebih cerah kerana kedudukannya lebih dekat dengan bumi. Matahari dikelilingi oleh planet lain seperti Utarid, Zuhrah, Marikh, Musytari, Zuhal, Uranus, dan Neptun. Matahari mempunyai 67 unsur dan unsur-unsur yang terkenal ialah hidrogen, helium, karbon, oksigen, fosforus, dan besi. Bumi ialah planet ketiga yang terdekat dengan matahari. Jaraknya kira-kira 150 juta kilometer. Permukaan bumi terdiri daripada kira-kira 30% benua dan 70% air. Bumi mengelilingi matahari selama 365¼ hari. Pada masa yang sama, bumi berputar pada paksinya selama 24 jam yang menyebabkan terjadinya malam dan siang. Peredaran ini juga menyebabkan terjadinya kitaran angin dan awan yang mempengaruhi keadaan iklim sesuatu tempat.

Di samping itu juga, bulan merupakan cakerawala yang penting kepada kehidupan manusia. Kejadiannya membuktikan kekuasaan dan kebijaksanaan Allah S. W. T. Dengan berdasarkan pendapat ahli sains, bulan lebih kecil daripada bumi. Jarak antara bulan dan bumi kira-kira 385000 km. Semasa bulan berputar mengelilingi bumi, matahari memancarkan cahayanya ke beberapa bahagian permukaannya. Dengan ini, terjadilah awal bulan (bulan sabit), pertengahan (bulan purnama) dan akhir bulan. Pusingan peringkat peredaran bulan akan menentukan perjalanan waktu, hari, minggu, bulan, dan tahun. Ia juga menentukan cuaca dan iklim sesuatu tempat. Berlakunya air pasang dan air surut disebabkan oleh putaran bulan. Terjadinya hal ini bergantung daripada tarikan graviti bulan pada permukaan bumi. Dalam Surah Yasin, ayat 39, Allah telah berfirman yang bermaksud, “Dan bulan pula Kami takdirkan beredar melalui berbagai-bagai peringkat hingga ke akhir peredarannya kelihatan kembalinya ke peringkat awal seperti tandan yang kering”. Bulan mengambil masa 271⅓ hari (27 hari 8 jam) untuk melengkapkan satu pusingan mengelilingi bumi.

Allah S. W. T. juga menjadikan bintang di dalam cakerawala. Keindahan bintang-bintang bertaburan di langit pada waktu malam membuktikan kekuasaan dan kebijaksanaan Allah. Bintang-bintang bertaburan kadangkala berada dalam satu kumpulan atau gugusan yang dinamakan Buruj. Bintang sebahagian besarnya terdiri daripada gas hidrogen. Gas ini memberikan bahan api kepada relau nuklear bintang tersebut yang mengeluarkan haba dan cahaya. Mengikut pendapat ahli astronomi, sekurang-kurangnya terdapat 1 000 000 juta bintang di langit. Bintang-bintang bergemerlapan di langit pada waktu malam boleh dijadikan pedoman oleh ahli pelayaran dan pengembara. Bintang-bintang boleh menunjukkan arah yang hendak dituju. Dengan adanya bintang, secara tidak langsung memberikan peluang kepada manusia membuat penyelidikan yang melahirkan ilmu kaji bintang, ilmu kaji bumi, dan ilmu falak.

Seterusnya, kejadian angin dan awan membawa rahmat yang tidak terhingga kepada manusia dan makhluk-makhluk Allah yang lain di bumi ini. Angin terjadi daripada pergerakan udara dari kawasan yang mempunyai tekanan yang tinggi ke kawasan tekanan yang rendah. Pelbagai kegunaan angin kepada makhluk Allah di bumi. Antara kegunaan-kegunaannya ialah termasuklah menyegarkan tubuh badan manusia daripada bahang cahaya matahari, membantu proses pendebungaan tumbuh-tumbuhan untuk pembiakan, dan menggerakkan awan untuk mempercepat proses penurunan hujan. Kilat dan guruh sering berlaku apabila hampir hujan. Kedua-duanya berlaku serentak. Walaupun begitu, kita dapati pancaran kilat lebih dahulu, kemudian diikuti bunyi guruh. Hal ini demikian kerana pergerakan cahaya lebih pantas daripada bunyi. Allah telah menyatakannya dalam Surah Ar-Rum, ayat 48 yang bermaksud, “Dialah yang mengirimkan angin, lalu angin itu menggerakkan awan, maka Allah S. W. T. membentangkannya di langit menurut yang dikehendaki-Nya dan menjadikannya bergumpal-gumpal lalu kamu lihat air keluar daripada celah-celahnya”
.
Tambahan itu, Allah Maha Berkuasa menjadikan siang dan malam yang silih berganti. Peredaran cakerawala yang mengikut ketetapan Allah menyebabkan terjadinya hal yang sedemikian. Ia jelas dinyatakan dalam Surah Al-Lail ayat 1-2, yang bermaksud, “Demi malam apabila menutupi (cahaya siang), dan siang apabila terang-benderang”. Kejadian siang dan malam banyak memberi faedah kepada manusia. Antaranya ialah supaya manusia berusaha mencari rezeki pada waktu siang, untuk manusia berehat pada waktu malam, dan membolehkan manusia beribadat kepada Allah dengan khusyuk pada waktu malam kerana waktu tersebut terhindar daripada gangguan dan kebisingan.

Oleh hal demikian, umat Islam hendaklah mengambil iktibar daripada kejadian-kejadian ini seperti mentaati segala perintah Allah dengan ikhlas, menggunakan segala kurniaan Allah pada perkara-perkara kebaikan, mengetahui bahawa semua kejadian Allah adalah untuk kemudahan manusia, dan menginsafi bahawa tanpa bantuan alam cakerawala, manusia tidak dapat hidup dengan sempurna.

Kejadian alam cakerawala memberikan pelbagai hikmah kepada kehidupan di bumi. Antaranya ialah membuktikan kebijaksanaan dan kekuasaan Allah S. W. T., meningkatkan keimanan dan ketaqwaan kepada Allah, dan membantu kehidupan makhluk-makhluk di alam ini supaya dapat menjalani kehidupan dengan sempurna. Di samping itu, ia dapat membantu manusia mencari rezeki pada watu siang manakala berehat dan beribadat kepada Allah pada waktu malam. Ahli-ahli sains pula dapat membuat penyelidikan dan kajian untuk menerokai rahsia-rahsia alam. Sementara itu, kejadian cakerawala dapat mempengaruhi iklim dan cuaca sesuatu tempat yang memberi kesan kepada produktiviti perekonomian manusia.

Kurniaan Allah kepada hamba-Nya terlalu banyak. Dengan adanya kurniaan-kurniaan tersebut manusia dapat menjalani kehidupan dengan sempurna. Anugerah Allah kepada manusia terlalu banyak sehingga tidak dapat dihitung. Semua kurniaan-Nya jika diusahakan besar-besaran dan mengikut kaedah sains dan teknologi akan mendatangkan faedah-faedah yang besar kepada manusia. Dengan ini, ia dapat menyumbang kepada kemajuan dan pembangunan sesebuah negara.

Manusia hendaklah bersyukur kepada Allah atas segala kurniaan-Nya. Antara cara-cara bersyukur kepada Allah S. W. T. ialah memanfaatkan segala kurniaan-Nya untuk kebaikan bersama dan menjaga anugerah-Nya dengan cara yang baik. Kita juga seharusnya mengingati keagungan-Nya dengan membanyakkan berzikir, membaca Al-Quran dan menghayati isi kandungannya.

Di samping itu juga, manusia perlulah mencari keredhaan Allah S. W. T. Manusia disuruh berfikir tentang kejadian alam yang terdapat di sekeliling mereka untuk dijadikan iktibar. Bagi golongan yang beriman pula, pemerhatian terhadap ciptaan Allah dapat meningkatkan keimanan dan ketaqwaan kepada-Nya. Ia telah dinyatakan dalam Al-Quran melalui Surah Luqman ayat 20, yang beerti, “Tidakkah kamu perhatikan bahawa Allah S. W. T. telah mengadakan apa yang di langit dan di bumi untuk kamu dan dicukupkan kurniaan-Nya zahir dan batin…. ” Manusia disuruh berfikir dan memerhatikan keagungan ciptaan-ciptaan-Nya dengan beberapa tujuan. Misalnya, untuk mencari rahsia alam ciptaan Allah, mengetahui kekuasaan dan kebijaksanaan Allah terhadap makhluk ciptaan-Nya serta menambahkan ilmu pengetahuan dan penguasaan terhadap beberapa kemahiran. Malah, ia juga bagi melahirkan individu yang bersyukur dan menyayangi sesama makhluk Allah S. W. T.

Malahan itu juga, kita haruslah mengamalkan beberapa perkara untuk mencapai keredaan-Nya. Perkara-perkara tersebut termasuklah sabar dan tabah ketika menerima ujian dan dugaan daripada-Nya, mengerjakan amal ibadah dengan ikhlas dan sempurna, serta patuh pada perintah-Nya. Kita juga mestilah menggunakan segala kurniaan Allah secara tidak membazir, menjaga hubugan sesama manusia dan dengan alam sekitar, di samping bertawakal kepada Allah dalam setiap usaha yang dilakukan sambil berdoa untuk memperoleh kejayaan. Secara ringkasnya, kita perlulah mencari keredaan Allah kerana kejadian alam yang terdapat di langit mahupun di bumi jelas membuktikan kekuasaan dan kebijaksanaan Maha Penciptanya.

Sebagai ganjaran dan balasan, Allah S. W. T melantik manusia sebagai khalifah-Nya di bumi ini untuk mengurus dan membangunkan alam ini dengan berlandaskan syariat Islam. Sebagai khalifah Allah, manusia bertanggungjawab terhadap alam ini. Pelbagai tanggungjawab tersebut termasuklah membangunkan alam ini berdasarkan syariat Islam, memakmurkan bumi ini dengan perkara kebaikan dan mencegah kemungkaran, serta memelihara dan memulihara alam ini bagi mengekalkan keaslian ciptaan Allah di bumi ini. Dengan tindakan-tindakan tersebut, manusia akan mencapai kejayaan di dunia dan di akhirat, keindahan alam sekitar terjamin, manusia dapat hidup dalam kedamaian, dan dapat menjamin keselamatan semua makhluk Allah di bumi ini.

Namun demikian, Allah sangat melarang manusia melakukan sebarang kerosakan terhadap alam ciptaan-Nya sama ada di darat, di laut, ataupun di udara. Antara kerosakan yang sering dilakukan oleh manusia termasuklah pembakaran hutan yang berleluasa, tumpahan minyak dan bahan beracun ke dalam laut atau sungai, serta pencemaran udara oleh asap dari kilang-kilang dan kenderaan tanpa dikawal. Larangan ini dijelaskan oleh Allah S. W. T. dalam Al-Quran dalam Surah Luqman ayat 20, yang bermaksud, “Dan janganlah engkau melakukan kerosakan di bumi, sesungguhnya Allah S. W. T. tidak suka kepada orang-orang yang melakukan kerosakan”. Sebahagian besar kerosakan yang berlaku di muka bumi ini mendatangkan kesan buruk kepada manusia, haiwan, dan alam sekitar. Misalnya, menyebabkan manusia sukar bernafas dan hidupan akuatik banyak mati, menyebabkan berlakunya hakisan tanah, dan juga boleh membawa kepada persengketaan sesama manusia.

Sebagai kesimpulannya, semua kejadian alam yang terdapat di sekeliling kita adalah untuk kesenangan dan kesejahteraan hidup manusia. Mengamalkan sifat wasatiah (sederhana) akan membawa kejayaan kepada seseorang. Pelajar hendaklah mengamalkannya sebagai dorongan ke arah kecemerlangan dalam bidang akademik. Rahmat yang diperoleh daripada alam cakerawala sangat banyak. Oleh sebab itu, kita hendaklah menjadi hamba yang bersyukur terhadap rahmat tersebut. Umat Islam hendaklah menjelajah ke beberapa tempat di dunia ini untuk melihat kelebihan ciptaan Allah bagi menambahkan dan mengembangkan ilmu pengetahuan. Di samping itu, membuat pemerhatian dan berfikir tentang ciptaan Allah dapat menambah dan mengukuhkan keimanan kepada Allah. Allah akan memberi ganjaran pahala yang besar kepada orang yang sentiasa bersyukur kepada-Nya…Insya Allah…Amin…


Ustaz Abd Aziz bin Harjin
Pensyarah Tamadun Islam
Universiti Teknologi MARA Perlis
02600 Arau 
PERLIS
MALAYSIA

013-4006206
04-9882701
abdazizharjin@perlis.uitm.edu.my
http://abdazizharjin.blogspot.com


2 comments:

Ustaz Hanipah said...

Maklumat yang bermanfaat ustaz. Mohon kebenaran utk jadikan sumber maklumat utk tugasan kerja kursus saya.

Syuhairah Yusup said...

maklumat yang amat bermanfaat dan membantu...mohon kebenaran utk saya jadikan sumber rujukan dan ilmu.