Tuesday, March 31, 2009

Cara-cara Melengkapkan Diri Untuk Kesempurnaan di Dunia Dan di Akhirat.

Oleh: Nur’aadila Binti Kaman

Kita sering melupakan mati sedangkan ia tidak pernah melupakan kita. Kita pura-pura jahil dengannya sedangkan ia mengenali kita, dan sentiasa menunggu kita. Sememangnya, kita tidak dapat mengetahui siapa yang bakal diziarahinya kelak. Allah berfirman, “Sesungguhnya engkau (wahai Muhammad) akan mati, dan sesungguhnya mereka juga akan mati. ” (Az-Zumar: 30) Justeru, haruslah kita membekalkan diri kita dengan bekalan-bekalan yang seharusnya sebelum ajal menemui kita. Seperti yang kita semua telahpun mengetahui, jalan yang paling mudah untuk menemui ketenangan di akhirat nanti adalah melalui amal ibadat, dan tiada pengganti lain untuk ilmu agama ini. Walau bagaimanapun, untuk menyempurnakan lagi diri kita sebelum menghadap Pencipta yang Maha Agung, bukan sahaja harus kita melengkapkan diri kita dengan bekalan ilmu agama dan ibadat, tetapi juga betapa perlunya kita kepada keselamatan dalaman iaitu perbaikan manusia terhadap dirinya dan juga sesama manusia, yang bermaksud agar manusia tidak menjadikan dirinya makmur dengan kedengkian dan iri hati bahkan hendaklah menjadikannya sebagai taman-taman yang menghijau dari kecintaan dan keimanan, dan indah permai dari akhlak yang mulia. Bukan sahaja dapat kita menjamin ketenangan selepas hidup ini, malah dapat kita memudahkan dan juga meringankan beban kita semasa menjalani kehidupan di dunia ini, sekaligus mendapat berkat dan hidayah dariNya buat bekalan di hari esok.
Terdapat pelbagai cara untuk kita mencantikkan diri kita dari segi dalaman. Salah satu caranya adalah dengan sabar. Sabar adalah bekalan yang lebih berharga dari seluruh bekalan yang lain, sabar dalam liku-liku hidup yang panjang, sabar atas pemulauan kaum keluarga, kederhakaan anak, pemergian sahabat, kebencian orang yang dengki, sabar atas kefakiran dan kesakitan penyakit. Apabila mendengar kalimat celaan, maka hendaklah kita tutup telinga kita dan bersabar agar lencana kepujian yang kekal tidak tercabut dari kita. Sesiapa yang mempunyai kesabaran maka dia telah memiliki khazanah perbendaharaan yang lebih besar di dunia, lalu kita sentiasa reda, tersenyum dan murah hati, tersenyum menghadapi krisis, dan tersenyum menghadapi kematian. Oleh itu, bersabarlah, kerana Allah menyukai orang-orang yang bersabar.
Senyuman adalah sedekah, anugerah Rabbaniyah dan keceriaan wajah ialah pemberian Ilahiyah. Rasulullah s. a. w. bersabda, “Senyuman pada wajah saudaramu adalah sedekah bagimu. ” Betapa mulia risalah ini yang menjadikan keceriaan wajah sebagai amal soleh hamba yang diberi pahala kepadanya, dan sebaliknya bermasam muka adalah tanda kesempitan jiwa, keberatan roh dan kebengkokan akhlak. Kita perlu kepada senyuman, senyuman rahmat kepada kedua ibu bapa, senyuman penghormatan kepada orang alim, senyuman belas kasihan kepada orang kurang senang, senyuman cinta kasih kepada isteri, dan senyuman keikhlasan kepada sahabat. Rasulullah yang suka tersenyum, berwajah ceria dan berakhlak mulia, oleh itu tuhan berfirman kepadanya, “Dan bahawa sesungguhnya engkau mempunyai akhlak yang amat mulia. ” (Al-Qalam 4)
Sifat kemaafan juga adalah salah satu ciri terpuji yang patut dimiliki oleh seseorang ke arah membentuk peribadi muslimin yang mulia. Apabila kita mendengar kalimat celaan dari saudara kita, memburuk-burukkan kita, apabila dicemuh, dipulau dan disakiti, maka berilah kemaafan kepadanya. Untuk kedamaian dan ketenangan, untuk membahagiakan diri dan orang lain, perlulah kita mengakhiri kitaran benci dan dengki ini dengan kemaafan. Sesungguhnya, jauh lebih mudah untuk kita membenci daripada memberi kemaafan kepada orang yang telah mensakiti diri kita. Justeru, dapat dilihat betapa baik dan tabahnya diri umat yang dapat memberi kemaafan. Orang yang suka bertolak ansur akan hidup aman damai dan beroleh rahmat, dan adapun orang yang berdendam dan bersikap pemarah akan hidup dalam kerugian dan kekesalan. Allah s. w. t. berfirman, “Dan orang-orang yang menahan kemarahannya, dan orang-orang yang memaafkan kesalahan orang. Dan (ingatlah), Allah mengasihi orang-orang yang berbuat perkara-perkara yang baik. ” (Ali-Imran- 134)
Selain itu, untuk memperolehi ketenangan dan keterangan hati, haruslah kita sentiasa bersedia untuk membuka hati kita kepada segala kemungkinan yang mungkin dibawa oleh hidup ini. Hati orang mukmin besar, jika Allah menghendaki, nescaya dijadikannya lebih luas dari langit dan bumi, dan jika dikehendaki dijadikannya lebih sempit dari lubang jarum. Jika diri kita sendiri mahu, kita boleh membuka hati kita kepada iman, kecintaan, persahabatan, dan keikhlasan dan kita juga mampu menutupnya dengan kebencian, kecaman, keluhan dan berpaling. Kunci hati kita milik kita sendiri dan kita masing-masing mempunyai kebolehan untuk membuka hati kita kepada pelbagai kebaikan yang dapat melapangkan dada kita dari segala kejahatan dan kekotoran hasad dengki. Haruslah kita memasukkan diri kita ke dalam golongan orang-orang yang melihat kebaikan, memandang keindahan, dan menyaksikan sudut-sudut kecemerlangan, maka dapatlah kita memiliki hati yang baik mulia. Janganlah kita termasuk ke dalam golongan orang-orang yang suka membesar-besarkan kesalahan, memandang separuh cawan kosong dan berhati keras dan gersang seperti padang pasir. Lihatlah kehijauan dan keindahan alam dan bukannya duri-duri yang bisa melukai, dan lihatlah bintang-bintang yang bersinar terang dan bukannya kegelapan langit malam. Maka bersihkanlah hati dan jadilah hamba Muslim yang benar dalam perkataannya setiap hari kepada saudaranya, “Assalamualaikum”.
Seterusnya, sebelum manusia menasihati dan memberi petunjuk kepada orang lain, sepatutnya dia memulai dengan dirinya sendiri, bagaimana manusia dapat menegakkan orang lain sedangkan dirinya pincang? Bagaimana dia merawat sedang diri dia sakit? Bagaimana dia membimbing sedangkan dia buta? Betapa bahagianya orang yang memperhatikan keaibannya terdahulu tanpa menyibukkan diri dengan keaiban orang lain, sesungguhnya kita mempunyai kesalahan-kesalahan yang meliputi seluruh umur kita, maka adakah kita masih mempunyai waktu untuk menyibukkan diri mencelah, mengkritik dan melukai orang lain? Sesungguhnya di antara hikmat dan kebenaran ialah hendaklah kita bermula dengan diri kita yang ammarah bissu’. “Patutkah kamu menyuruh manusia supaya berbuat kebaikan sedang kamu lupa akan diri kamu sendiri”. (Al-Baqarah: 44) Di dalam pergaulan seharian, tiada seorang yang pun yang suka melihat orang yang gemar ‘menjaga tepi kain orang lain’. Sifat ini hanyalah dapat mendatangkan persepsi yang buruk kepada diri sendiri, bahkan pula seluruh umat Islam. Maka untuk mencantikkan lagi diri dari segi dalaman, hindarilah sifat yang jelik ini.
Untuk perhubungan sesama manusia pula, sepatutnya kita membentang jambatan-jambatan penghubung dengan saudara-saudara kita dan jangan menunggu perhubungan dari mereka, bermulalah kita dengan langkah pertama. Sesungguhnya orang-orang yang mulia adalah orang yang menanamkan kecintaan dalam hati dan menyemarakkan kasih mesra di dalam diri sendiri, dan juga di antara saudara mara kita. Para hikmah berkata dalam satu hari kita mampu mencipta seribu musuh akan tetapi dalam satu tahun adakalanya kita tidak mampu mencari satu sahabat, sesungguhnya orang berakal yang bijaksana kalimatnya yang lemah lembut dan perbuatan-perbuatannya yang indah akan sampai ke dalam hati-hati manusia, lalu mereka membuka hati untuknya, dan menundukkan atas singahsana roh-roh mereka. Haruslah kita membina dan mengekalkan semangat ukhuwah di antara umat demi kekuatan Islam. Bukan sahaja dapat kita memperbaik akhlak dan tingkah laku, tetapi dapat juga kita mendapat pahala dan berkat dari Allah s. w. t.
Tambahan pula, Islam melarang egois mementingkan diri sendiri dalam kehidupan Muslim, ia mengajak kepada amal yang membuahkan hasil, dan manfaat yang sampai kepada orang lain dengan tersenyum, gembira, memberi salam, berbuat kebaikan, bersedekah, melawat orang sakit, berziarah, bermurah hati dan berlemah lembut. Semuanya adalah keistimewaan yang ada dalam dada orang-orang yang suci, orang-orang yang ikhlas dan wali-walinya. “Maka sesiapa berbuat kebajikan seberat zarah, nescaya akan dilihatnya (dalam surat amalnya)! Dan sesiapa berbuat kejahatan seberat zarah, nescaya akan dilihatnya (dalam surat amalnya)!”(Al-Zalzalah; 7-8)
Dalam usaha merapatkan silaturrahim di antara saudara mara kita, kita juga sepatutnya menghargai pandangan orang lain jika ia tidak merosakkan asas yang telah disepakati ulama dan orang-orang yang berakal. Seseorang yang berdebat dengan orang lain, membantah atau mengkritik mereka tidak boleh memakai sahsiah kemaksuman dan mendakwakan bahawa pertolongan Rabbaniyah mengkhaskannya dengan kebenaran dan tanpa orang lain. “Dan sesungguhnya (tiap-tiap satu golongan), sama ada golongan kami ahli tauhid atau golongan kamu ahli syirik – (tidak sunyi daripada salah satu dari dua keadaan): keadaan tetapnnya di atas hidayah petunjuk atau tenggelamnya dalam kesesatan yang jelas nyata. ” (Saba’ : 24) Untuk menggalakkan penyuaraan isi-isi hati dan kehidupan di dalam masyarakat yang aman dan tidak dipenuhi ketidakpuasan hati, hendaklah kita mengambil masa untuk mendengar buah-buah fikiran saudara-saudara kita dan harus juga kita bersedia untuk bertolak ansur dan membuka hati kita kepada pendapat orang lain yang besar kemungkinan tidak sehaluan dengan kita. Kita semua dicipta dengan akal fikiran, maka janganlah kita menghalang saudara kita dari berfikir dan berdebat, tetapi galakkanlah pemikiran terbuka dan pendapat-pendapat yang baru dan bernas.
Seperti yang kita tahu, lumrah manusia sememangnya diselubungi serba kekurangan. Sifat yang dimiliki oleh ramai manusia ini tetapi tiada yang berani mengakuinya, iaitu sikap suka lari dari tanggungjawab. Apabila kita mencapai kejayaan, semua mendakwanya, tetapi apabila terjadi krisis, semuanya berlepas diri daripadanya. Maka dalam kejayaan, kita bertelingkah. Semuanya memandang bahawa dia sahaja penyebab kejayaan bahkan bila ditimpa bencana disebabkan perbuatan tangan-tangan sendiri, maka setiap orang dari kita melemparkan tanggungjawab itu kepada orang lain. Sesungguhnya, setiap dari kita mempunyai saham dalam setiap kejayaan pada peringkat umat dan tanah air, semuanya mengikut tanggungjawab dan kedudukannya. Begitu juga setiap dari kita mempunyai saham dalam krisis. Oleh itu, jalan penyelesaiannya hendaklah kita meneruskan kejayaan dan mengakui tanggungjawab, memperbaiki keadaan, dan tidak melemparkan kesalahan kepada orang lain. “(Patutkah kamu melanggar perintah Rasulullah)? Dan (kemudiannya) apabila kamu ditimpa kemalangan (dalam peperangan Uhud), yang kamu telahpun memenangi seperti itu sebanyak dua kali ganda (dengan menimpakan kemalangan kepada musuh dalam peperangan Badar), kamu berkata: dari mana datangnya (kemalangan) ini? Katakanlah (wahai Muhammad): Kemalangan itu ialah dari kesalahan diri kamu sendiri (melanggar perintah Rasulullah)” (Ali Imran: 165) Bagaimana harus kita mencerminkan peribadi yang mulia jika kita tidak membetulkan kecacatan tingkah laku yang amat mengaibkan ini?
Selain itu, kekurangan manusia juga adalah pada semangat dan motivasi dirinya. Sebahagian manusia sering dikuasai perasaan putus asa, putus harapan dan memandang rendah dirinya. Dia memandang bahawa umat Islam tidak akan mampu berdiri tegak, kaum muslimin dalam kemunduran, harga barang-barang naik dan ekonomi semakin meruncingkan, kaum remaja diabaikan, kaum wanita keletihan, para ulama muflis dan para pendakwah berangan-angan. Walau bagaimanpun, dalam masyarakat sememangnya terdapat ulama-ulama, orang mulia, orang-orang zuhud, ahli ibadah, orang-orang baik dan orang-orang dermawan yang masih tegak dan sedar, maka janganlah kita begitu senang berputus asa. Masjid-masjid kita masih penuh dengan orang-orang sembahyang, dan pelajar-pelajar masih membaca al-Quran yang masih kekal. Jika demikian maka kita telah berada dalam kebaikan, lalu mengapa berputus asa? Bertawakkallah kepada Tuhan dan sentiasalah kita mengharapkan bantuanNya. Sesungguhnya, tiada keraguan kita akan menang selama Allah bersama-sama kita. “Allah akan memberikan kesenangan sesudah berlakunya kesusahan. ” (At-Talaq: 7) Maka buanglah sifat yang melemahkan ini, untuk mencerminkan umat Islam yang tabah dan kuat menghadapi rintangan, seperti orang-orang terdahulu, yang berjuang untuk Islam, agama yang dapat kita banggakan pada hari ini.
Tambahan lagi, untuk memperbaikkan diri kita ke arah pembentukan akhlak yang mulia, haruslah kita menerima suatu hakikat tentang diri kita sendiri dan juga saudara mara kita, iaitu tiada diri yang terkecuali atau maksum dari kesalahan dan kekurangan. Apabila kita melihat satu sikap saudara kita, dan tidak mampu kita menafsirkannya atau tingkah laku yang tidak layak dimaafkan, maka maafkanlah dia. Sesungguhnya tiada yang maksum dari segala kesalahan selain Muhammad s. a. w. Pada ketika seperti ini, maka ingatlah sifat-sifat saudara kita ini yang baik, dan janganlah melakukan tindakan buruk terhadap sikapnya yang terakhir, lalu kita mungkin akan kehilangan ramai sahabat dan juga saudara. Setiap dari diri kita tidak pernah terlepas dari kesalahan-kesalahan, keaiban dan kekurangan. Adakah kita mencari teman yang tidak pernah melakukan kesalahan, dan tidak pernah melakukan keburukan? Sememangnya, kita memerlukan seorang yang maksum, seorang Rasul, jika demikian maka lihatlah kepada Muhammad s. a. w. Walau bagaimanapun, di antara sesama kita, pejamlah pandangan, beri kemafaan, tutupi kesilapan dan lupakan kesalahan dan kenanglah kebaikan. Wahai saudaraku, hadapilah manusia atas keadaan-keadaan mereka, utamakan kemafaan pada apa yang lahir dari mereka, nescaya kita akan hidup dengan bahagia dan ketenangan fikiran.
Seterusnya, satu lagi bekalan yang tidak harus kita lupakan untuk kehidupan di dunia dan di akhirat adalah ilmu pengetahuan. Ilmu adalah sebaik-baik pemberian Allah kepada hamba-hambaNya. Ilmu membolehkan kita mengenali Allah, dan memberi petunjuk kepada perkara-perkara yang diredaiNya. Sesungguhnya, ilmu adalah anugerah terbesar yang dikurniakan kepada manusia, dituangkan pada akalnya, dan menyerap ke dalah rohnya. Maka ahli ilmu kaya tanpa harta, mulia tanpa keluarga, terhormat tanpa pangkat, dan kuat tanpa kuasa. Setiap hari rohnya bersinar dengan makrifah, fikirannya disirami dengan hujan risalah, lalu mendatangkan hasil dua kali ganda. “Katakanlah lagi (kepadanya): Adakah sama orang-orang yang mengetahui dengan orang-orang yang tidak mengetahui?” (Az-Zumar: 9). Adapun orang jahil, maka betapa ruginya dan hampa, dia mempunyai diri yang runtuh dengan syahwat-syahwat kepentingannya terikat dengan harapan-harapan, hari semalamnya dengan hari ini, hari ini sama dengan esoknya, tidah ada hikmah dalam kejemuan dari umurnya, tidak ada pemahaman yang mendalam. “Atau adakah engkau menyangka bahawa kebanyakan mereka mendengar atau memahami (apa yang engkau sampaikan kepada mereka)? Mereka hanyalah seperti binatang ternakan, bahkan (bawaan) mereka lebih sesat lagi”. (Al-Furqan: 44) Oleh itu, segala ilmu yang dapat membawa kebaikan kepada diri maka haruslah kita berusaha memperolehinya kerana sesungguhnya Allah s. w. t. sangat sayang akan umatnya yang terpelajar dan berilmu. Dengan ilmu dapatlah juga kita mempertahankan agama kita dari golongan-golongan sesat dan juga mendidik mereka dengan kelebihan-kelebihan Islam yang mulia. Sememangnya, tanpa ilmu apakah yang dapat membezakan diri kita daripada mereka?
Akhir sekali, kesyukuran dan keredhaan juga adalah penting buat ketenangan fikiran. Bilakah akan kita meredhai diri kita, apabila sudah memiliki sesuatu, kita tamak untuk memiliki dua, kemudian tiga dan seterusnya. Kehausan yang tidak pernah terputus, dan kedahagaan yang tidak pernah puas. Apabila sudah kita berbahagia pada saat ini maka janganlah kita menuggu lagi kebahagiaan yang lebih dari hari ini pada hari esok atau lusa. Ketengan tidak mungkin dapat tercapai dengan cara ini. Ini kerana umur kian berkurang, masa tetap berjalan, minit-minit melompat, maka jangan memikirkan pada harapan yang ghaib sedang kita tidak cuba mengambil faedah daripada apa yang sedia ada di tangan kita sekarang. Justeru, bergembiralah dengan segala pemberian Allah, berbahagialah dengan rumah yang kecil, kerana adapun yang tidak mempunyai atap di atas kepala, redhalah dengan roti yang panas dan enak, kerana adapun yang tiada beras untuk ditanak. Kita hidup dalam dugaan-dugaan dan khayalan-khayalan yang terbang di langit padang pasir, kita tidak pernah rasa redha dengan apa yang ada di sisi kita, dan kita juga tidak mengetahui apa yang ada di masa hadapan. Jika kita tidak redha dengan apa yang ada di tangan kita, maka kita tidak akan redha apabila dunia sudah tiada dan sudah tiba masanya kita bertemu Pencipta.
Oleh itu, marilah kita sama-sama cuba menerapkan nilai-nilai ini ke dalam diri kita sebelum masanya sudah terlambat. Marilah kita cuba untuk mengubah dan juga memperbaik kehidupan yang kita jalani di dunia ini, tanpa melupakan dunia yang bakal kita semua jumpa pada esok kelak. Maka janganlah kita lalai mengejar hal-hal keduniaan dan melupakan urusan-urusan akhirat, dan juga janganlah kita terlalu leka mengumpul bekalan buat akhirat sehinggakan terlupa untuk hidup di dunia, sesungguhnya dunia ini hanya sementara, nikmatilah keindahannya sementara masih ada.


Ustaz Abd Aziz bin Harjin
Pensyarah Tamadun Islam
Universiti Teknologi MARA Perlis
02600 Arau 
PERLIS
MALAYSIA

013-4006206
04-9882701
abdazizharjin@perlis.uitm.edu.my
http://abdazizharjin.blogspot.com


No comments: